Khamis, 14 Oktober 2010

Urusniaga Plus digantung menjelang Bajet 2011

MALAYSIA KINI


Urus-niaga syarikat konsensi lebuhraya terbesar negara, Plus Expressways Bhd di Bursa Malaysia digantung apabila pasaran saham dibuka pagi ini hingga jam 5 petang esok, sementara menunggu pengumuman utama.

Pengumuman itu dijangka esok ketika Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang juga menteri kewangan membentangkan ucapan Bajet 2011 esok.

Menurut Plus, tindakan menggantung urus-niaga itu diminta oleh pemegang saham utamanya.

Konglomerat milik kerajaan Kumpulan UEM Bhd memegang 38.5 peratus saham Plus, manakala badan pelaburan kementerian kewangan Khazanah Nasional Bhd pula mempunyai kepentingan 16.7 peratus. UEM adalah anak syarikat milik penuh Khazanah Nasional.

Sejak beberapa minggu lalu, timbul spekulasi bahawa Kumpulan UEM menjadi sasaran untuk diambil-alih oleh MMC Corporation yang dimiliki oleh jutawan Syed Mokhtar Albukhary.

Sebelum ini, Najib pernah dilaporkan berkata kerajaan telah menerima lima cadangan bagi pengambil-alihan Kumpulan UEM, yang pernah dimiliki oleh Umno sehingga ia dibelenggui masalah hutang.

Cadangan itu dipercayai akan dikemukakan Najib pada ucapan Bajet 2011 pada jam 5 petang esok.

MMC dipercayai mengintai beberapa projek Kumpulan UEM yang membawa pulangan yang besar. Selain Plus, ia termasuk perkhidmatan sokongan hospital menerusi Faber Group Bhd dan syarikat pemaju hartanah UEM Land Holdings Bhd.

Syarikat itu juga dijangka akan diberi kontrak bagi membina Jambatan Kedua Pulau Pinang.

MMC menghadapi saingan sengit darita firma swasta Asas Serba Sdn Bhd, yang bercita-cita menguasai rangkaian lebuhraya di Malaysia.

Syarikat itu didakwa dibelakangi oleh jutawan, Tan Sri Halim Saad, bekas ketua Kumpulan UEM dan bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin.

Tiada ulasan: