Rabu, 6 Oktober 2010

Umno tegur Utusan lebih bertanggungjawab

Salhan K Ahmad & Regina Lee

Umno telahpun memberi teguran kepada Utusan Malaysia supaya bersikap lebih bertanggungjawab dalam laporan mereka, kata setiausaha agung parti itu, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Katanya, masalah yang wujud dalam Utusan Malaysia mungkin hanya disebabkan oleh beberapa orang dalam sidang pengarang akhbar berkenaan.

"Mungkin sebab satu dua orang. Janganlah kerana nila setitik, habis rosak susu sebelanga," katanya dalam satu wawancara dengan Malaysiakini.

"Kita sudah beritahu mereka jangan tulis begitu... Wartawan perlu menulis dengan bertanggungjawab, gunakan fikiran supaya apabila kita tulis sesuatu, ia tidak menyakiti perasaan orang lain atau kaum lain," tambahnya.

Katanya lagi, Umno mempunyai pegangan dalam Utusan Malaysia tetapi tidak ada kawalan ke atas kegiatan editorial akhbar berkenaan.

"Mereka akan kata, 'biasa lah.' Bila kita marah (mereka beri alasan), bukanlah, itu (disebabkan) wartawan kami. Ini biasa di mana-mana (penerbitan) pun," katanya lagi.

Tengku Adnan sebelum itu diminta mengulas Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) yang mendakwa Utusan Malaysia mengamalkan polisi editorial yang bertentangan dengan etika kewartawanan.

Amalan tersebut, dakwa NUJ, menyebabkan kejatuhan edaran akhbar berkenaan.

Walaupun begitu, Tengku Adnan menegaskan bahawa Utusan Malaysia mahupun Umno tidak boleh dipersalahkan atas kesilapan yang dilakukan sidang pengarang akhbar itu.

"Mungkin sebab (kesalahan dilakukan) satu dua orang. Janganlah kerana nila setitik, habis rosak susu sebelanga.

"Anda tidak boleh salahkan Utusan atau pemilik Utusan, hanya kerana (tindakan) pengarangnya.

"Maksud saya, kadang-kadang, dengan Malaysiakini pun saya geram, tapi saya tidak boleh salahkan Malaysiakini. Mungkin penulisnya menyebelahi pemimpin tertentu, tapi kita tidak boleh salahkan (Malaysiakini)," katanya.

Tengku Adnan berkata, beliau memahami keadaan itu kerana beliau sendiri pernah miliki Watan sebelum ini.

"Dan saya pernah miliki 15 peratus (pegangan dalam) The Star sebelum ini.

"Saya tahu, mereka kena jual suratkhabar," katanya lagi.

Tiada ulasan: