Sabtu, 23 Oktober 2010

Umno Gua Musang tolak serang peribadi, PAS dakwa politik ‘desperado’

KUALA LUMPUR — Umno Gua Musang memberi jaminan tidak akan menggunakan taktik serangan peribadi dalam kempen pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas, Kelantan yang bermula Selasa ini.

“Tiada komen, kita tidak akan serang peribadi,” kata Timbalan Ketua Umno Gua Musang Mat Yusoff Abdul Ghani dengan ringkas mengulas laporan bahawa bakal calon PAS di Galas, Dr Zulkefli Mohamad menjadi sasaran media rasmi Umno, Umno Online, yang melaporkan beliau pernah ditangkap berkhalwat.

Dalam serangan tidak sampai 24 jam selepas diisytihar sebagai calon PAS-Pakatan Rakyat, Umno Online memetik laporan beberapa blog mendakwa Dr Zulkefli pernah ditangkap khalwat dengan ‘isterinya’ sekarang, Ramelah Mat Jusoh.

Bagaimanapun Dr Zulkefli yang merupakan pemangku Yang Dipertua PAS Gua Musang menafikan perkara itu.

Kata Dr Zulkefli, Ramelah yang dilaporkan itu adalah ibunya manakala isterinya bernama Zainab Jalar. Dr Zulkefli diumumkan sebagai calon PAS oleh Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat di Gua Musang tengah malam kelmarin.

Beliau adalah bekas calon PAS yang bertanding menentang Ketua Umno Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah dalam pilihan raya umum 2004 dan 2008 tetapi tewas.


Dr Zulkefli Mohamed yang dinamakan sebagai calon PAS bertanding pilihan raya kecil kerusi Galas. — Foto Bernama

Dr Zulkefli juga pernah bertanding di DUN Paloh sebelum ini. Percubaan kali ini merupakan yang keempat bagi beliau.

Sementara itu, Ketua Pemuda PAS pusat Nasrudin Hassan Al-Tantawi pula menyifatkan serangan peribadi oleh Umno Online sebagai “politik desperado” yang mula muncul sempena pilihan raya kecil Galas.

“Kenapa cepat sangat fitnah calon PAS di Galas? Apakah politik desperado mula menguasai pentas pertandingan? Bertarunglah tanpa fitnah,” kata beliau dalam mesej menerusi Twitter malam tadi.

Pengarah Pilihan Raya PAS Kelantan, Abdul Fatah Harun juga menyifatkan serangan ke atas Dr Zulkefli sebagai “fitnah” dan pihaknya bercadang mengambil tindakan undang-undang.

“Ini fitnah. Tak ada perkara macam itu, kami sudah periksa di pejabat-pejabat kadi, agama... tak benar,” kata beliau ketika dihubungi.

Kata Fatah, beliau juga sudah berbincang dengan Dr Zulkefli mengenai perkara yang turut menafikannya.

“Saya juga sudah berbincang dengan individu (Dr Zulkefli), tak betul, mereka ada pen, ada laptop, buat cerita-cerita macam ini,” katanya lagi.

Tegas beliau, penduduk tempatan tidak akan mempercayai penyiaran berita sedemikian.

“Orang sini tak percaya perkara macam ini, mereka sengaja nak sebarkan dakwaan macam ini, orang tak percaya,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Tuku ini.

Walaupun hanya mengulas ringkas soal itu, Mat Yusoff mendakwa calon PAS tersebut yang sebelum ini pernah bertanding menentang Tengku Razaleigh bagi merebut kerusi Parlimen Gua Musang bukan anak tempatan Galas.

“Calon PAS yang diumumkan itu akan ditolak oleh pengundi-pengundi di Galas. Kenapa saya cakap begitu? Kerana calon PAS itu bukan anak tempatan yang tinggal di Galas.

“Beliau memang anak tempatan Gua Musang tapi bukan orang Galas. Beliau duduk di Chiku, jarak antara Chiku dan Galas jauh. Kira-kira sejam perjalanan.

“Nanti kalau beliau jadi wakil rakyat macam mana rakyat nak jumpa?

“Jadi wakil rakyat kerja sampai tengah malam. Kalau malam macam mana rakyat nak jumpa? Pengangkutan awam di Galas ini bukannya bagus,” kata Mat Yusoff kepada The Malaysian Insider.

Ahli Dewan Undangan Negeri Nenggiri berkata, senario politik sekarang sudah berubah dan ia memihak kepada Umno kerana pengundi di Galas kecewa dengan kerajaan Kelantan yang diperintah PAS.

“Saya pasti calon PAS itu tidak akan dapat sambutan. Saya tidak tahu kenapa PAS pilih beliau (Zulkefli) sedangkan sebelum ini cakap nak pilih anak tempatan.

“Dulu beliau pernah bertanding menentang Tengku Razaleigh ketika pilihan raya umum tapi kalah. “PAS cakap beliau menang undi di Galas, tapi senario sekarang sudah berubah. Ini bukan lagi tahun 2008,” katanya.

Menurut Mat Yusoff, Umno akan mengambil kesempatan mengenai beberapa isu yang gagal disempurnakan kerajaan Kelantan termasuk isu tanah di Galas.

“Lagipun rakyat sudah kecewa dengan PAS, banyak perkara yang gagal diselesaikan kerajaan negeri termasuk isu tanah.

“Kerajaan ambil tanah kemudian buat ladang rakyat. Tanah itu asalnya tanah orang dan ada yang tidak berdaftar tapi kerajaan ambil dengan skala yang besar.

“Ini yang rakyat marah, begitu juga dengan tanah orang asli yang kerajaan rampas. Saya yakin Umno akan merampas kembali DUN Galas,” katanya.

Beliau juga berkata Umno akan memilih calon anak tempatan bagi merampas semula kerusi DUN Galas yang sebelum ini dimenangi PAS.

“Mengenai calon Umno sudah tentu anak tempatan Galas,” katanya.

Pilihan raya kecil DUN Galas diadakan 4 November ini dan hari penamaan calon ditetapkan pada Selasa ini.

Kerusi DUN Galas kosong berikutan kematian penyandangnya Che Hashim Sulaima dari PAS akibat kanser usus pada 27 September lalu.

Pada pilihan raya umum 2008, Allahyarham Che Hashim berjaya merampas DUN Galas - buat julung kali — yang terletak dalam kawasan pilihan raya Parlimen Gua Musang daripada BN, mengalahkan calon BN Mohd Saufi Deraman, dengan majoriti 646 undi.

Tiada ulasan: