Selasa, 26 Oktober 2010

Umno-BN Pinggirkan Nasib Orang Asli

Oleh Fazli Othman

AA18KUALA LUMPUR - Kerajaan Umno-Barisan Nasional langsung tidak mempedulikan nasib dan kedudukan Orang Asal di Semenanjung Malaysia apabila tidak ada langsung peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan bagi menjamin kepentingan merupakan kaum pribumi di negara ini.

Ketika mengemukakan soalan tambahan dalam sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat semalam, Ahli Parlimen Gombak, Mohamed Azmin Ali menegaskan kedudukan Orang Asal di Semenanjung Malaysia tidak terjamin sekiranya hak mereka tidak dimasukkan dalam tafsiran Perkara 153 dan Perkara 160 Perlembagaan Persekutuan.

Menurutnya, Fasal (2) Perkara 160 hanya menafsirkan Orang Asli adalah Orang Asli Semenanjung Tanah Melayu manakala dalam artikel 153 Perlembagaan Persekutuan, ianya hanya merangkumi Melayu dan Bumiputera Sabah dan Sarawak sahaja.

"Kita meminta kerajaan menyatakan pendirian sama ada bersedia untuk memasukkan hak Orang Asli di Semenanjung ke dalam Perlembagaan.

"Adakah kerajaan bersedia untuk mengambil satu tindakan yang berani dan bertanggungjawab untuk menjamin kedudukan Orang Asli dan sekiranya tidak apakah alasan yang akan diberikan oleh kementerian?," soal beliau.

Dalam pada itu, Azmin turut menyindir pemimpin terutamanya Umno dengan berkata jika orang Turki yang duduk di Sembrong boleh dijamin oleh Perlembagaan dan diterima oleh Umno sebagai pemimpin tertinggi, kalau orang Jawa di Bagan Datuk boleh dijamin oleh Perlembagaan, kalau orang lanun di Semporna boleh termaktub dalam Perlembagaan, mengapa Orang Asli ini tidak dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan

Sebelum itu, Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak di perhimpunan agung minggu lepas menyebut tiga bangsa itu dengan merujuk kepada tiga naib presiden iaitu Datuk Zahid Hamidi, Datuk Seri Hishamuddin Hussein dan Datuk Seri Shafie Apdal yang mempunyai darah bangsa tersebut.

Pada 19 Oktober lalu, Speaker, Tan Sri Pandikar Amin Mulia menolak usul tergempar mengenai pengiktirafan kedudukan peribumi Orang Asli sebagai Bumiputera yang dibawa oleh Ahli Parlimen Telok Kemang, Datuk Kamarul Baharin Abbas.

Azmin dalam soalan asalnya meminta menteri menyatakan jumlah peruntukan bajet yang disalurkan kepada Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA) sepanjang dua tahun lalu.

Tiada ulasan: