Rabu, 27 Oktober 2010

Tsunami: Angka Korban Meningkat kepada 113 Orang, 500 Lagi Hilang

SELANGOR KINI


Terkini

PADANG, Indonesia- Angka kematian meningkat berikutan tsunami melanda Sumatera Barat kepada 113 orang manakala lebih 500 lagi dikhuatiri hilang.

Agensi berita AP melaporkan, kawasan bencana terbabit dilanda ombak setinggi tiga meter yang tercetus daripada gempa bumi berukuran 7.7 pada skala Richter di dasar lautan berhampiran Sumatera Barat, semalam.

Menurut laporan agensi berita itu lagi pasukan penyelamat terpaksa mengharungi lautan yang bergelora untuk sampai ke pulau yang terpencil itu.

Garisan gempa bumi di kawasan terbabit, tercetus Isnin lalu dilaporkan penyebab gempa bumi yang mencetuskan gelombang tsunami raksaksa lautan Hindi, Disember 2004 lalu yang mengorbankan lebih 230,000 nyawa di negara-negara terbabit.

Menurut Bernama, walaupun pasukan penyelamat dilaporkan sama ada sukar atau gagal sampai ke beberapa perkampungan terpencil di sekitar persisiran kepulauan Mentawai, mereka bersiap sedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan.

Tsunami berkenaan menghanyutkan ratusan rumah di dua kampung di pesisiran pantai di Pagai dan Silabu yang sebahagian daripada kepulauan Mentawai.

Pegawai di Agensi Pengurusan Bencana Republik terbabit, Ade Edward berkata, jumlah angka mangsa tsunami mula diterima dan sehingga kini semakin meningkat.

Indonesia yang berada di kawasan yang digelar ‘Lingkaran Api Pasifik’, kerap terdedah kepada bencana gempa bumi dan aktiviti gunung berapi.

Kedudukan pusat gempa

Perkara itu disahkan pegawai daerah Kepulauan Mentawai, Edison Saleleobaja.

Sehingga jam 1 pagi tadi, pihak Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) belum memastikan identiti mangsa termasuk pelancong Australia dan Jepun dalam kejadian itu.

Antara mereka yang hilang dipercayai 10 rakyat Australia dan Jepun yang berada dalam sebuah kapal bernama Southern Cross milik Sumatran Surfariis.

Pihak kedutaan Australia di Jakarta juga yakin bahawa rakyatnya berada di dalam kapal itu. Bagaimanapun BNPB belum mengesahkan kebenaran maklumat itu.

“Maklumat itu sedang kami sahkan, belum jelas maklumat dari lokasi kejadian dan kami masih menunggu,” kata Maryadi, petugas BNPB kepada Bernama.

Beliau berkata, pasukan badan itu belum berada di Mentawai kerana memberi tumpuan kepada ancaman letusan Gunung Merapi di sempadan Yogyakarta dan Jawa Tengah serta banjir di Wassior (Papua Barat).

“Tsunami itu berketinggian tiga meter dan meluap hingga 400 meter ke darat,” katanya.

Media Online Nasional melaporkan, dua perkampungan disapu bersih tsunami yang berlaku di kawasan penggemar sukan luncur air itu, namun Maryadi belum dapat mengesahkan perkara itu.

Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofisika (BMKG) mengumumkan gempa bumi berukuran 7.2 pada Skala Richter berlaku pada pukul 9.42 malam Isnin, pada kedudukan 78 kilometer Barat Daya Pagai Selatan, Mentawai Sumbar, pada kedalaman 10 km.

Badan itu mengeluarkan amaran potensi tsunami kepada masyarakat sejurus selepas gampa itu, namun menarik balik amaran ancaman itu kemudiannya.

Tiada ulasan: