Rabu, 6 Oktober 2010

Timbalan presiden: MB Selangor tunggu Anwar, umum 10 Oktober

THE MALAYSIAN INSIDER


Khalid ingin membincangkan dahulu isu pencalonannya dengan Anwar Ibrahim. — Gambar fail

KUALA LUMPUR— Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim yang berjaya mengekalkan jawatan ketua cabang Kuala Selangor kelmarin di sebalik siri tekanan dan serangan, mengesahkan akan bertanding jawatan tertinggi Parti Keadilan Rakyat (PKR) kali ini.

Difahamkan beliau akan bertanding jawatan timbalan presiden tetapi pengumuman rasmi hanya akan dibuat hujung minggu ini.

Jika ia menjadi kenyataan persaingan kerusi itu akan menyaksikan pertarungan empat penjuru membabitkan dua naib presiden iaitu Azmin Ali dan Mustaffa Kamil Ayub, Pengerusi PKR Wilayah Persekutuan Datuk Zaid Ibrahim dan Khalid sendiri.

Bagaimanapun Zaid ini pernah mengumumkan bahawa beliau hanya akan turun gelanggang jika Khalid tidak bertanding kerusi nombor dua PKR.

Pada sidang media yang dijanjikan semalam, Khalid berkata, beliau akan membuat pengumuman mengenai jawatan yang hendak ditanding pada 10 Oktober selepas mengadakan perbincangan dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku penasihat PKR dan Ketua Umum Pakatan Rakyat.

Bekas pengerusi PKR Selangor ini dicalonkan bertanding jawatan timbalan presiden dan juga naib presiden.

“Saya akan bertanding bagi merebut jawatan timbalan presiden, namun pengumuman rasmi mengenainya hanya akan dibuat pada 10 Oktober ini sejurus Datuk Seri (Anwar) pulang ke tanah air,” kata beliau dipetik Sinar Harian.

Khalid dilaporkan membuat pengumuman itu pada sidang media di Shah Alam semalam.

Kata Khalid beliau juga akan berusaha mengadakan perbincangan dengan pemimpin tertinggi parti dan juga pemimpin Pakatan Rakyat sebelum membuat pengumuman.

“Tujuan saya (mahu) bertanding ini hanya dengan satu matlamat iaitu meremajakan semangat reformasi yang membina Keadilan berdasarkan penghormatan dan toleransi,” kata beliau.

Katanya, beliau berharap pemimpin lain akan menyertainya dalam mencapai misi itu.

Ketika pemilihan cabang Kuala Selangor Ahd lalu, Khalid berkata beliau menolak pencalonan untuk jawatan timbalan presiden daripada cabangnya kerana mendapati Presiden Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail turut dinamakan untuk jawatan itu. Khalid menjelaskan beliau telah meminta supaya cabangnya Kuala Selangor mencadangkan Dr Wan Azizah sebagai presiden tetapi sebaliknya Datuk Seri Anwar Ibrahim yang telah dipilih.

Cabang itu mencalonkan Dr Wan Azizah ke jawatan timbalan presiden.

Tiada ulasan: