Jumaat, 1 Oktober 2010

Taib: Kerusi Bumiputera cukup, BN yakin majoriti selesa DUN Sarawak

THE MALAYSIAN INSIDER

KUCHING – Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud berkata Barisan Nasional (BN) mampu meraih kemenangan majoriti selesa pada pilihan raya negeri yang akan datang berdasarkan kepada bilangan kerusi Bumiputera.

Pilihan raya disebut-sebut akan diadakan bila-bila masa dari sekarang, tetapi kemungkinan besar awal tahun depan.

Mandat semasa akan berakhir Julai 2011.

Namun, katanya, beliau akan kecewa jika kerajaan negeri yang bakal dibentuk tidak mempunyai bilangan wakil kaum Cina yang besar.

Dipetik Bernama, beliau berkata demikian pada Ramah Tamah Aidilfitri yang dihadiri 3,000 orang kebanyakan masyarakat Cina. Ucapannya diterjemah ke bahasa Mandarin.

Jamuan itu, yang diadakan di sebuah hotel di sini, diadakan sempena perasmian lebuh raya berharga RM61.5 juta dari Stutong ke Zon Perindustrian Sama Jaya dan Lapangan Terbang antarabangsa Kuching.

Ketika ditanya pemberita sama ada pengundi Cina akan menolak Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dalam pilihan raya itu nanti, Taib (gambar) berkata: “Itu saya tak tahu. Terpulang kepada masyarakat Cina untuk membuat keputusan.”

Dewan Undangan Negeri Sarawak mempunyai 71 kerusi, 56 daripadanya kawasan majoriti Bumiputera manakala 15 lagi mempunyai ramai pengundi Cina.

Taib berkata masyarakat Cina perlu mempunyai wakil yang kuat dalam kerajaan supaya mereka tidak ketinggalan dalam kemajuan.

“Untuk menikmati kemajuan, kita perlu bersama dengan kerajaan. (Dengan bersama kerajaan) kita bukan saja berhak menyuarakan apa yang tidak kena dengan kerajaan tetapi kita akan turut terlibat dalam menyumbang kepada kemajuan rakyat,” katanya.

Taib menasihatkan kaum Cina supaya berfikir sedalam-dalamnya mengenai kesan jika mereka tidak mempunyai wakil dalam kerajaan.

“Anda perlu memilih wakil untuk menyertai kerajaan.

“Jika tidak ada wakil Cina dalam kerajaan, saya tidak dapat berbuat apa-apa kerana saya tidak akan mendapat nasihat yang dapat memberi manfaat kepada kaum Cina,” katanya.

Tiada ulasan: