Jumaat, 8 Oktober 2010

Sukan Komanwel: Hanya perak buat Malaysia semalam

THE MALAYSIAN INSIDER

NEW DELHI— Persembahan hambar atlet Malaysia semalam meletakkan negara di kedudukan tempat ketujuh dalam senarai kutipan pingat di hari keempat Sukan Komanwel 2010, semasa Australia dan India meneruskan kecemerlangan mereka dalam memburu pingat.

Atlet Malaysia mengambil bahagian dalam 13 acara final semalam, namun hanya berupaya memungut satu pingat perak dalam acara menembak, hasil usaha Hazli Izwan Amir dan Hafiz Adzhar dalam acara 25m rapid fire pistol.

Hari ini mungkin menjanjikan harapan lebih cerah dalam pemburuan pingat, di mana sekurang-kurangnya 10 atlet Malaysia akan mengambil bahagian dalam peringkat final acara masing-masing.

Harapan untuk pungutan pingat emas disandarkan kepada acara memanah, badminton (acara berpasukan), berbasikal, menembak, ping pong, angkat berat, dan skuasy yang akan menampilkan usaha ratu skuasy Datuk Nicol David memburu pingat emasnya yang pertama dalam Sukan Komanwel.

Nicol semakin hampir merangkul pingat emas selepas beliau mengalahkan pemain Australia Kasey Brown 3-0 dalam separuh akhir semalam.

Dalam acara skuasy lelaki perseorangan separuh akhir, Ivan Yeun menewaskan Harry Leitch 15-13, 9-11, 11-9, 11-5 dari Scotland, dan pastinya menjanjikan satu pingat sudah berada dalam gengaman hari ini.

“Saya rasa cukup hebat. Ia merupakan Sukan Komanwel saya yang pertama dan saya mendapat pengalaman yang cukup hebat di sini,” katanya selepas menumpaskan lawan di sini hari ini.

Sementara itu tiga perenang Malaysia yang terdiri daripada Yap See Tuan (50m kuak dada), Chan Kah Yan (50m kuak lentang) dan Chaii Lai Kwan (50m gaya bebas) menampilkan persempahan mantap untuk memecahkan rekod kebangsaan dalam saingan masing-masing.

Dalam arena badminton pula acara berpasukan campuran, Malaysia menewaskan Singapura 3-1 dalam acara separuh akhir dan akan berhadapan dengan pasukan tuan rumah India dalam pertandingan akhir hari ini.

Hari ini, para atlet di sini akan memburu 42 pingat emas yang dipertaruhkan.

Di luar gelanggang, edisi ke-19 Sukan Komanwel terus diselubungi kekalutan dan kontroversi; antaranya masalah longkang perkampungan sukan yang tersumbat disebabkan pembuangan kondom, kerosakan laman web Sukan Komanwel yang menyukarkan tugas wartawan, stadium yang hampir kosong dan kawalan keselamatan yang terlalu ketat.

Atlet Australia, Sally Pearson menjuarai acara 100m pecut wanita, menamatkan kemarau pingat buat negara itu selama 36 tahun. Kali terakhir ia dimenangi negara itu pada tahun 1974. — Bernama

Tiada ulasan: