Selasa, 26 Oktober 2010

SPRM proaktif terhadap Laporan Audit Negara 2009

FREE MALAYSIA TODAY

logo-sprmPETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuka untuk siasatan 13 Kertas Siasatan (KS), 14 Kertas Penyiasatan Awal (KPA) dan lima Kertas Pemeriksaan dan Perundingan (KPP).

Keputusan diambil untuk membuka siasatan terhadap laporan-laporan ini setelah SPRM menyemak Laporan Audit Negara 2009 yang baru diterbitkan.

Ia sebahagian besarnya membabitkan isu dalam laporan Ketua Audit berkenaan hasil aduan dan maklumat yang diterima daripada orang ramai sebelum ini.

Daripada jumlah 13 Kertas Siasatan (KS) yang dibuka, sebnayak tiga dibuka di Johor, enam di ibu pejabat (Putrajaya), dua di Terengganu, dan masing-masing satu di Sarawak dan Selangor.

Sebanyak 14 Kertas Penyiasatan Awal (KPA) yang dibuka, enam KPA di Perak, dua di Wilayah Persekutuan Labuan, Sabah, Kedah dan masing-masing satu di Terengganu dan Selangor.

Sementara lima Kertas Pemeriksaan dan Perundingan yang dibuka membabitkan tiga di Johor dan masing-masing satu di Wilayah Persekutuan Labuan dan Sarawak.

Kenal pasti perkara lain

SPRM dalam kenyataan yang difakskan kepada FMT berkata, pihaknya akan mengenalpasti perkara-perkara lain yang dibangkitkan dalam Laporan Audit itu untuk dijadikan asas bagi tujuan siasatan di bawah Akta SPRM 2009.

Semalam memetik laporan Bernama, SPRM telah membuka sebanyak 20 kertas siasatan dan penyiasatan serta lima kertas pemeriksaan dan perundingan, hasil dari Laporan Ketua Audit Negara 2008 yang dikeluarkan tahun lalu.

Menurut satu kenyataan, setakat ini, tiga individu telah didakwa di mahkamah. Empat laporan SPRM dikemukakan kepada ketua jabatan berkenaan dengan cadangan prosiding tata tertib terhadap pegawai terlibat.

Lima surat nasihat dikeluarkan kepada jabatan berkaitan serta lima kajian sistem dan prosedur bagi menutup sebarang ruang dan peluang perlakuan jenayah rasuah atau penyelewengan.

"Kes-kes siasatan yang ditutup tanpa sebarang tindakan pula adalah disebabkan sama ada tiada perlakuan jenayah rasuah atau penyelewengan jenayah atau kerana tiada keterangan bagi mencadangkan sebarang pertuduhan," katanya.

Tiada ulasan: