Rabu, 27 Oktober 2010

SPRM Bebas Mulakan Siasatan Tanpa Perlu Rujuk Pihak Lain

BERNAMA

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mempunyai kuasa untuk bertindak dan menyiasat sesuatu kes rasuah tanpa perlu terlebih dahulu merujuk kepada mana-mana pihak termasuk Jabatan Peguam Negara, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz.

Beliau berkata, bagaimanapun, SPRM tertakluk kepada Fasal (3) Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan kuasa kepada Peguam Negara untuk memulakan, menjalankan atau memberhentikan apa-apa prosiding pendakwaan bagi sesuatu kes siasatan.

"Dalam hal ini, Seksyen 58 Akta 694 memperuntukkan dengan jelas bahawa tiada pendakwaan boleh dimulakan, kecuali dengan izin Pendakwa Raya.

"Perkara ini perlu kerana dalam menjalankan penyiasatan dan pendakwaan, perlu ada 'semak dan imbang'," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat pada Rabu.

Mohamed Nazri menjawab soalan M. Manogaran (DAP-Telok Intan) berhubung sama ada SPRM mengambil nasihat atau panduan dari Jabatan Peguam Negara, dan apakah SPRM satu badan yang bebas dan tidak berkaitan dengan Jabatan Peguam Negara.

Beliau berkata sekiranya agensi penyiasatan diberi kuasa membuat keputusan untuk mendakwa, maka tidak wujud satu unsur pemikiran yang bebas dalam mempertimbangkan fakta dan keterangan sesuatu kes itu secara objektif.

Katanya, ia juga adalah bertentangan dengan prinsip keadilan asasi iaitu 'seseorang itu tidak boleh diadili oleh penyebab sendiri' kerana Ketua Pesuruhjaya SPRM dan pegawai SPRM menjalankan kuasa mengikut Seksyen 7 Akta 694.

"Prinsip pengasingan kuasa ini menunjukkan negara ini mengamalkan sistem demokrasi, dan di mana-mana negarapun, kuasa untuk membuat pertuduhan dan pendakwaan adalah terletak hak kepada Peguam Negara atau Pendakwa Raya yang bebas dan tidak terpengaruh oleh agensi penyiasatan," katanya.

Mohamed Nazri berkata pengasingan kuasa yang diamalkan ini juga dapat menjamin sesuatu kes itu dibicarakan dengan adil dan telus mengikut undang-undang yang telah ditetapkan.

Tiada ulasan: