Khamis, 7 Oktober 2010

Sogokan, Akta dan Pemilikan: Hata Wahari menongkah arus

Chen Shaua Fui

Dalam hidup, menolak godaan ada kalanya lebih sukar berbanding dengan menentang paksaan. Mereka yang berkeras kepala di depan kuasa, akhirnya berlembut hati juga dengan wang ringgit. Di sini kuasa mula meluaskan pengaruhnya, setelah mengubah wajahnya dalam sampul surat.

"Wang saku" bukanlah sesuatu yang baru, malah mungkin sesuatu yang lumrah dalam bidang kewartawanan - disogokkan atas nama "penghargaan", tetapi pada hakikatnya ia lebih merupakan "pengaiban" terhadap kerjaya ini. Duit raya, angpow, wang saku dan sebagainya, dihulurkan kepada wartawan tanpa perlu menyebut apakah motif di sebaliknya.

"Saya wartawan senior, saya lihat budaya ni semakin menjadi-jadi. Dulu, kita pergi function ada bagi door gift. Itu tak apa, tapi ada ahli perniagaan yang kasi duit buat liputan, dalam envelope (sampul) ada RM100 ke, RM200 ke..." Hata Wahari, Presiden Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) baru, yang sudah 15 tahun berkhidmat sebagai wartawan di Utusan Malaysia berkongsi pengamatannya.

Dalam satu wawancara bersama MerdekaReview, beliau sempat berjenaka ketika mengulas isu ini, "Tapi masalahnya, itu ke value (nilai) kita sebagai wartawan? RM100, RM200, kalau nak kasi bagilah 20 ribu!"

Justeru itu, beliau sering menasihati wartawan junior agar tidak menjaja "roh" dan "nilai" wartawan kepada mereka yang menyogoknya. Hata Wahari (gambar kiri) menyedari bahawa seseorang wartawan itu sebenarnya mengundang masalah, seandainya wang itu diterima.

"Kalau story (berita) tak keluar? Orang (yang menyogok) akan tanya kenapa story (berita) tak keluar. Kalau kita ambil duit daripada dia, dia akan tanya kenapa tulis dengan angle (sudut) negatif, lebih baik tolak saja. Saya lihat, mereka yang datang cakap dengan saya, kita memang tidak terima," kata Hata Wahari.

Kita jual maruah kalau...

Jangka beliau berkecimpung dalam bidang kewartawanan yang panjang mencungkil minat wartawan untuk bertanya, sama ada beliau pernah ditawarkan wang untuk membuat liputan atau menulis sesuatu laporan?

"Kalau (ikut) prinsip saya, kalau mereka bagi duit saya tidak akan tulis. Apa benda ni? Saya pegang etika ni sampai bila-bila. Semasa saya berkhidmat di Biro Seremban Utusan Melayu, ada seorang pemenang Anugerah Guru Cemerlang datang pejabat untuk tulis story (berita) dia, saya pun interview (temuramah) macam biasa. By the end (akhirnya) dia selok koceknya, keluarkan dompet bagi saya duit. Saya cakap, apa benda ni? On the spot (di situ juga), saya cakap tak apa, pakcik simpan duit tu. Saya tak ambil duit tu. On the spot saya buang itu story, buat apa story kat dia? Itu saya punya prinsip hidup."

Sebagai kesimpulannya, Hata Wahari berkata, "Saya tak boleh layan orang yang melihat saya sebagai penulis upahan, tahu? Lepas interview (temuramah) kasi RM200. Eh, gila ke, apa benda ni?"

Peristiwa PRK Kuala Terengganu pada tahun 2009 kemudiannya diungkit semula. Wartawan MerdekaReview (gambar kanan) pada ketika itu membuat laporan polis bahawa wartawan disogok sampul yang mengandungi RM300 di dalamnya. Tindakan ini dipertikaikan sesetengah wartawan, yang berpendapat bahawa wartawan hanya perlu memulangkan wang, tidak usah untuk buat laporan polis; sementara sesetengah merungut bahawa tindakan ini akan menyebabkan peluang untuk mendapat hadiah atau wang akan berkurang pada masa depan.

Ketika mengulas isu ini, Hata Wahari berkata, "Wartawan state (negeri) lain, terlampau rapat dengan ahli politik, yang itu kita tak mahu tu. Apabila kita terlampau rapat dengan ahli politik, kita kenal dengan Ketua Bahagian, itu jadi masalahnya. Prinsip saya senang saja, saya pergi buat laporan, kata (saya perkenalkan diri) 'Datuk, saya Hata Wahari dari Utusan...'. Saya tidak ada hubungan peribadi, tak ada nak ajak makan minum, tak ada pergi rumah individu minta ini itu, tak pernah buat begitu. Tapi di state negeri kecil, (wartawan) kenal dengan semua ahli politik, pembangkang dan BN."

Bagaimanapun, Hata Wahari menambah, "Mungkin niat ahli politik nak kasi duit minyak ke apa-apa, tapi kita tak patut ambil apa-apapun. Kita menjual maruah kita."

90% ahli NUJ tidak berbuat demikian

Wartawan cuba memanjangkan perbincangan kepada duit raya. "Perkara ni memang banyak berlaku, macam Menteri-Menteri buat majlis buka puasa, akan bagi door gift. Door gift tak apa, dalam tu kebanyakan adalah makanan, tapi sesetengah pada akhir majlis mereka bagi duit raya pulak. Saya boleh cakap majoriti wartawan akan balik tanpa duit raya tu. Tak ada yang beratur untuk ambil duit RM100 atau 200 itu. Saya pernah pergi, ramai yang balik, tak adalah yang nak beria-ia sangat," katanya.

"Saya rasa wartawan sekarang ini lebih telus, mereka menyuarakan pendapat. Kita perlukan sesuatu kebebasan, kita tak nak involve (terlibat) dalam reporting yang biased, kita nak hidup dalam dunia wartawan ini lebih lama, kita nak hubungan yang baik antara semua orang, kita nak baik untuk pemimpin pembangkang dan pemimpin Barisan Nasional..."

"Itu konsepnya. Kalau mereka nak spoil (jejaskan) kita dengan bagi gift (hadiah) dan duitlah, kita rasa tidak selesa dengan dia. Kalau pergi jumpa Menteri, alamak Menteri bagi duit, kita kena tulis benda yang lebih baik, kerana dia dah bagi duit, itu yang kita tak nak," tegas Presiden NUJ baru ini yang yakin bahawa 90% ahli-ahlinya tidak berbuat demikian.

Mekanisme untuk membanteras sogokan

Ketika ditanya sama ada wujudnya mekanisme untuk membanteras budaya sogokan, Hata Wahari berkata, "Dalam Perlembagaan, NUJ boleh ambil tindakan disiplin terhadap wartawan, kalau kita terima aduan bahawa wartawan tersebut ambil duit. Kita boleh panggil dia, kita boleh beri surat nasihat, itu peruntukan dalam perlembagaan NUJ."

"NUJ sebelum ni tidak berbuat demikian, panggil wartawan dan beri nasihat, kita pun tidak ada jalankan kursus etika kewartawanan. Kita punya etika kewartawanan Malaysia sudah wujud lama, semasa kita bersama Konfederasi Wartawan ASEAN (Confederation of ASEAN Journalists), dah ada etika kewartawanan sejak 1978. Ada banyak fakta, tak boleh biased (berat sebelah), tak boleh ambil wang, diperkuatkuasa oleh NUJ, Indonesia, Filipina, Thailand, negara ASEAN lain."

"Itu yang kita pakai sekarang, katakan dia langgar etika ini. Dalam perlembagaan kita boleh panggil, kalau dia masih nak di bawah NUJ, dia kena patuh etika ini, kalau dia bukan lagi jadi member (ahli) kita, kita tak boleh buat apa-apa lagi," kata Hata Wahari.

Penjajah British pun tidak menguasai media!

Di samping itu, Hata Wahari mengulangi pendiriannya untuk memansuhkan Akta Penerbitan dan Mesin Cetak 1984, malah menggesa agar parti politik menarik diri daripada pemilikan media. Mungkin pengalaman Hata Wahari dalam Watan sebelum ini, sedikit sebanyak menjurus kepada pendirian sedemikian.

Hata Wahari, graduan Fakulti Komunikasi Institut Teknologi Mara (sekarang UITM), pernah berkhidmat di Watan, yang pada ketika itu dimiliki Tengku Adnan Tengku Mansor, iaitu Setiausaha Agung UMNO sekarang. Watan antara akhbar yang ditutup di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada tahun 1987 dalam Operasi Lalang, dan menarik nafas baru pada tahun 1993. Bagaimanapun, akhbar ini terpaksa dihentikan dua tahun kemudian.

Pengalaman ini meyakinkan Hata Wahari bahawa media tidak seharusnya dimiliki oleh ahli politik. Malah, ketika mengulas bagaimana MCA terpaksa melepaskan semua saham-nya dalam Media Chinese International Limited, Hata Wahari mempersoalkan mengapa parti politik yang lain gagal berbuat demikian, sedangkan MCA mampu melakukannya?

Mengimbas sejarah penubuhan Utusan Melayu, Hata Wahari berkata Melayu diizinkan untuk memiliki akhbar ini walaupun pada ketika zaman penjajahan British. Hata Wahari mempersoalkan, mengapa perlu kerajaan sekarang menguasai media, sedangkan penjajah British pun tidak berbuat demikian pada tahun 1939?

Hata Wahari menyatakan tekadnya untuk mengembalikan kegemilangan NUJ, malah menekankan bahawa perjuangan NUJ Malaysia tidak akan berjaya tanpa sokongan rakyat.

*Chen Shaua Fui ialah Assistant Editor, MerdekaReview, edisi bahasa Cina. Wawancara ini dijalan oleh Chen Shaua Fui di sebuah kafe, Kuala Lumpur pada 28 September 2010. Diterjemah dan disunting oleh Lim Hong Siang.

Tiada ulasan: