Rabu, 6 Oktober 2010

Setiap ahli termasuk Zaid perlu hormati larangan dampingi media ‘musuhi’ PKR



Zaid minggu lepas bertemu-bual dengan akhbar Mingguan Malaysia and New Straits Times. — Gambar fail

PETALING JAYA— Setiap ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) perlu mematuhi keputusan komponen Pakatan Rakyat (PR) itu yang tidak membenarkan media-media tertentu daripada membuat liputan aktiviti parti tersebut.

Keputusan itu merangkumi calon-calon yang bertanding pada pemilihan parti kali ini, termasuklah Datuk Zaid Ibrahim yang dicalonkan bertanding jawatan timbalan presiden.

Diminta mengulas amaran Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa calon-calon yang bertanding pemilihan kali ini harus mengelak daripada memberi kenyataan kepada media yang dilarang PKR, Setiausaha Agungnya Saifuddin Nasution Ismail berkata keputusan parti adalah jelas dalam isu ini.

“Apakah keputusan parti? Disiplin parti ialah ahli parti mesti mematuhi keputusan parti.

“Dalam soal ini parti telah membuat keputusan bahawa media tertentu, dalam kes ini Utusan yang secara berterusan, bertubi-tubi menyerang parti, maka ahli-ahli perlu mematuhi keputusan parti,” katanya.

Kata Saifuddin, setiap ahli boleh mempunyai pendirian masing-masing mengenai kebebasan media.

“Tetapi apabila ada keputusan parti, keputusan parti kena diterima,” kata beliau pada pertemuan khas di sini hari ini.

Tiada ulasan: