Ahad, 24 Oktober 2010

Selangor Jadi Tumpuan Penyair Siber

SELANGOR KINI

Dr Irwan Abu Bakar

SHAH ALAM – Selangor akan menjadi lokasi menghimpun penyair siber dari seluruh negara pada akhir tahun ini.

Ia berikutan e-Sastera Selangor akan menjadi tuan rumah penganjuran Hadiah Esastera Dot Com atau Hescom kali ke-10 di Laman Budaya, Shah Alam, 11 Disember 2010.

E-sastera adalah laman portal Internet yang memuatkan pelbagai genre karya dari penulis tempatan termasuk mereka yang bermastautin di luar negara.

E-sastera diasaskan, seorang profesor di Jabatan Kejuruteraan Bioperubatan, Fakulti Kejuruteraan, Universiti Malaya (UM) yang juga antara penulis buku Sains Solat: Kebaikan Dari Perspektif Sains.

Penganjuran Hescom ini mendapat sokongan dan kerjasama kerajaan Selangor dan Majlis Bandaraya Shah Alam atau MBSA.

Novel-novel keluaran E-sastera

“Ini merupakan satu-satunya anugerah terhadap karya sastera yang tersiar di Internet. Di peringkat dunia sekalipun, tidak ramai. E-sastera sejak 2003 tidak pernah gagal mengadakan penganjuran anugerah ini,” kata Dr Irwan.

Antara buku terbitan esastera ialah blook Budak Kayu, novel Cinta Berbalas Di Meja 17, antaralogi cerpen antaranya, Esprit De Corps, Cerita Gelisah dan Sejalan Tak Seiring, selain menerbitkan majalah sastera secara berkala.

Tahun ini, dua buku lagi diterbitkan berjudul ‘Hostel: Momento Cinta’ dan kitab ‘Qurratul Uyun’.

“Walaupun esastera bergerak dalam dunia siber tetapi kita tetap mengeluarkan produk berbentuk konvensional termasuk menerbitkan buku dalam bentuk cetak bagi tujuan komersil,” katanya.

Novel Hostel: Momento Cinta ini unik kerana ia ditulis 12 penggiat seni dalam sastera siber secara bersambung-sambung yang mengambil masa selama tiga tahun untuk disiapkan.

Tiada ulasan: