Ahad, 24 Oktober 2010

Sejarah subjek wajib lulus peperiksaan SPM mulai 2013

TERKINI

KUALA LUMPUR – Kementerian Pelajaran memutuskan untuk menjadikan mata pelajaran Sejarah sebagai subjek wajib lulus di peringkat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mulai 2013.

Buat masa sekarang mata pelajaran itu adalah subjek teras yang wajib diambil, tetapi bukan wajib lulus.

“Selepas mengambil kira pandangan beberapa perwakilan di sini (Perhimpunan Agung Umno), maka Kementerian Pelajaran memutuskan Sejarah sebagai subjek wajib diambil dan wajib lulus di peringkat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia,” kata Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika menggulung perbahasan Perhimpunan Agung Umno.

Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden Umno dasar itu akan berkuasa kuasa mulai 2013.

“Kita perlukan masa untuk melatih guru-guru,” kata beliau.

Pada Perhimpunan Agung Umno kali ini, para pemimpin Umno dan Barisan Nasional (BN) diminta menjadikan usaha memberi kefahaman kepada generasi muda agar menghayati sejarah negara ini sebagai satu agenda dalam proses membangkitkan kesedaran rakyat secara menyeluruh.

Ketua Biro Sumber Manusia Puteri Umno, Fahariyah Md Nordin berkata, untuk itu para pemimpin Umno dan BN perlu menjadikan sejarah sesuatu perkara yang ingin diketahui oleh golongan itu dengan pendekatan yang lebih memikat hati kerana mereka kini lebih berpaut kepada penggunaan teknologi terkini, terutama melalui internet serta dalam bentuk filem aminasi.

Untuk itu, kata beliau, usaha itu perlu dilakukan terutama dengan wujudnya kelompok generasi muda yang tidak teragak-agak mengatakan mereka tidak ada kena mengena dengan pendirian dan keputusan yang dibuat oleh nenek moyang mereka sebelum merdeka.

Malah, beliau mengingatkan para pemimpin Umno dan BN agar tidak mengambil sikap lepas tangan dengan memberi alasan generasi muda sendiri enggan menerima atau tidak mahu dikaitkan dengan persetujuan atau pendirian yang dibuat nenek moyang mereka.

“Persoalannya, tidakkah mereka (generasi muda) sedar bahawa dengan menafikan sejarah yang ditempuhi oleh nenek moyang mereka itu, mereka ini (seolah-olah) mahu meruntuhkan hubungan salasilah yang diwarisi dari susur galur keturunan yang terdahulu,” katanya semasa membahaskan usul ucapan dasar presiden pada Perhimpunan Agung Umno 2010.

Beliau juga berkata dengan itu, mata pelajaran sejarah perlu dijadikan subjek wajib lulus di sekolah-sekolah bagi menyedarkan generasi muda tentang kepentingan memahami dan menghayati sejarah tanahair memandangkan kini sudah sampai masanya subjek sejarah diberi tekanan sewajarnya.

Fahariyah berkata jika generasi muda dibiarkan dengan sikap tidak mahu menerima latar belakang sebenar sejarah negara, ia akan menjadikan mereka sukar memahami konsep program transformasi kerajaan dan ekonomi, yang perlu diperjuangkan dan disokong mereka.

Kata Muhyiddin, bermula tahun 2014, di bawah Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR), mata pelajaran Sejarah akan dijadikan sebagai mata pelajaran teras di peringkat sekolah rendah.

“Seperti yang dibangkitkan oleh wakil Perak dan Kedah, di peringkat sekolah rendah, pada masa ini, elemen Sejarah diajar melalui mata pelajaran Kajian Tempatan.”

“Dalam hal ini, kementerian akan membuat penambahbaikan kandungan mata pelajaran Sejarah dengan memberi penekanan terhadap aspek-aspek berkaitan perlembagaan negara, dengan tujuan untuk membentuk kefahaman yang mendalam terhadap pembentukan negara bangsa yang kita cintai ini,” katanya.

Selain itu, Muhyiddin juga berkatam pentaksiran berasaskan sekolah bagi Penilaian Menengah Rendah (PMR) yang sebelum ini diumumkan mulai 2016, akan dipercepatkan ke tahun 2014.

“PMR tidak akan kita teruskan lagi tapi digantikan dengan sistem yang berasaskan sekolah dan ianya akan kita mulakan pada tahun 2014 iaitu dua tahun lebih awal daripada asalnya kerana ada tuntutan daripada tuan-tuan supaya disegerakan.

“UPSR (Ujian Pencapaian Sekolah Rendah) pula akan dikekalkan tapi ditambah baikkan dengan cara-cara lebih sesuai mengikut perkembangan masa dan kehendak perkembangan ekonomi kita. Tetapi kita masih perlu ada tempoh masa untuk menyiapkan usaha-usaha untuk melatih semula guru-guru dan sebagainya,” katanya.

Muhyiddin berkata kementerian itu juga akan menyalurkan peruntukan sebanyak RM10 juta bagi membiayai aktiviti-aktiviti Yayasan Guru Malaysia Berhad, yang ditubuhkan untuk kebajikan guru-guru.

Tiada ulasan: