Khamis, 14 Oktober 2010

Saya bukan penyokong parti pembangkang – Pyan Habib


DSC_0584 Oleh Nazli Ibrahim

Kuala Lumpur: Aktivis seni, Pyan Habib hari ini menafikan tanggapan sesetengah pihak bahawa beliau merupakan penyokong parti politik pembangkang. Sebaliknya menurut beliau, beliau adalah penggiat seni yang hanya melontarkan pandangannya melalui kaca mata seorang anak seni yang memerhati perkembangan isu-isu yang melibatkan masyarakat negara ini.

Kemungkinan tanggapan sedemikian wujud katanya, disebabkan beberapa kali beliau dilihat membaca puisi dalam majlis-majlis anjuran parti politik pembangkang.

"Saya hanya seorang aktivis seni dan tidak condong untuk menyokong mana-mana parti politik, tetapi hanya melontarkan pandangan yang berkaitan dengan isu-isu masyarakat melalui medium seni," demikian kata beliau ketika ditemui di Dewan Perhimpunan Cina KL dan Selangor hari ini.

"Walaupun saya pernah berdiri di atas pentas PKR, PAS dan lain-lain parti pembangkang untuk menyampaikan puisi, saya juga tidak keberatan untuk berdiri di atas pentas Umno, malah pentas MCA dan MIC sekalipun untuk membaca puisi kerana seni itu untuk semua," kata beliau lagi.

Beliau juga memberi contoh seorang lagi aktivis sosial, Hishammuddin Rais juga bukanlah ahli mana-mana parti politik sebaliknya hanya melontarkan pandangan dari kaca mata beliau sendiri.

Sementara itu, ketika bercakap tentang kes kematian Àllahyarham adik Aminulrasyid yang kini sedang dalam proses perbicaraan di mahkamah, beliau tidak meletakan kesalahan kepada pihak polis atau mana-mana pihak lain.

Tetapi menurutnya, walau sebesar manapun kesalahan yang dilakukan oleh seorang kanak-kanak, mereka berhak untuk diberi peluang supaya dapat memperbetulkan kesilapan mereka. Apatah lagi umur mereka yang masih terlalu muda.

Sebelum ini, Pyan Habib telah menulis puisi bertajuk ‘Nota kecil kepada Perdana Menteri’ di dalam blognya, pyanhabib.blogspot.com berikutan kematian Aminulrasyid yang mati ditembak polis. Allahyarham Aminul merupakan cucu saudara kepada ibu mertua beliau sendiri.

Tiada ulasan: