Khamis, 7 Oktober 2010

"Satu ahli satu undi" beri kekuatan baru

FREE MALAYSIA TODAY

cheah PETALING JAYA: Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) Dr Molly Cheah berkata, sistem "satu ahli satu undi" yang diperkenalkan dalam mesyuarat pemilihan PKR memberi kekuatan baru kepada parti.

"Persaingan sengit yang berlaku dalam tempuh beberapa minggu lalu di peringkat cabang membuktikan demokrasi hidup dan segar dalam parti," kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, seramai 8,570 calon menawarkan diri mereka di peringkat cabang dan kesanggupan ahli-ahli biasa bertanding menentang ahli-ahli senior dalam parti membuktikan wujudnya budaya demokrasi yang subur.

Menurut beliau, di kebanyakan Cabang, pemilihan berjalan dengan lancar dan aman serta jumlah aduan adalah kecil.

"Dari 204 Cabang yang layak mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan Cabang (MATC), 145 Cabang mengadakan pemilihan. Dari 145 Cabang, hanya sembilan Cabang menyaksikan proses pemilihan tergendala dan mesyuarat terpaksa ditangguhkan.

Dr Cheah berkata, "pemilihan dibatalkan atas beberapa sebab termasuk tidak ada tempat untuk mesyuarat, gangguan daripada bukan ahli, ketidakupayaan para sukarelawan untuk mengendali jumlah pengundi yang ramai dan beberapa kejadian ahli-ahli tidak dapat mengawal perasaan.

"Kami berharap semua ahli membuat aduan kepada JPP secara rasmi tentang sebarang bentuk penyelewengan dan salah laku yang memerlukan perhatian dan tindakan lanjut.

Ujar beliau, "ahli-ahli yang tidak berpuas hati dengan perjalanan pemilihan tidak harus menggunakan saluran media untuk membuat tuduhan-tuduhan liar tetapi sebaliknya melaporkan kepada JPP atau sekretariat PKR.

"Kami juga tidak akan teragak-agak untuk mencadangkan tindakan disiplin terhadap ahli-ahli parti jika mempunyai bukti mereka terlibat dengan tingkah laku yang ganas hingga menganggu perjalanan mesyuarat pemilihan," katanya.

Tiada ulasan: