Sabtu, 23 Oktober 2010

SAPP turunkan presidennya di Batu Sapi

THE MALAYSIAN INSIDER

SANDAKAN — Presiden Parti Maju Sabah (SAPP) Datuk Yong Teck Lee yang juga bekas ketua menteri Sabah akan bertanding di kawasan Parlimen Batu Sapi — yang bakal menyaksikan pilihan raya kecil melibatkan sekurang-kurangnya saingan tiga penjuru.

Perkara itu diumumkan oleh Naib Presiden SAPP Poon Kee Yong yang berkata, keputusan untuk menurunkan Yong diputuskan pada mesyuarat yang berakhir kira-kira 2 pagi tadi.

“Sabah memerlukan seorang pemimpin yang berani. Kami memerlukan mereka yang boleh menggerakkan usaha untuk mengembalikan kuasa autonomi Sabah dan berjuang untuk hak negeri (Sabah),” kata beliau ketika berucap merasmikan pejabat SAPP di Karamunting di sini, hari ini.

“Kami memerlukan seorang yang boleh membawa perubahan,” kata beliau dipetik Star Online hari ini.

Ini pilihan raya pertama bagi Yong selepas beliau dilarang daripada bertanding dalam pilihan raya atas kesalahan dilakukan pada 1999 selama lima tahun.

Larangan yang berkuat kuasa pada 2001 berakhir 2006. Perkara itu diumumkan selepas dua hari perbincangan antara SAPP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk mencapai persetujuan agar pilihan raya kecil kawasan Parlimen Batu Sapi menyaksikan pertandingan satu lawan satu dengan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat tidak menjadi kenyataan.

SAPP bertegas dengan pendiriannya untuk meletakkan calon sendiri. BN akan mengumumkan calonnya daripada Parti Bersatu Sabah (PBS) esok.

Kerusi Parlimen Batu Sapi kosong berikutan kematian penyandangnya Datuk Edmund Chong Ket Wah daripada PBS dalam nahas jalan raya di Tanjung Aru pada 9 Oktober.

Kawasan Parlimen itu mempunyai 25,582 pengundi berdaftar, termasuk 1,535 pengundi pos. Hari penamaan ialah pada 26 Oktober.

Tiada ulasan: