Jumaat, 15 Oktober 2010

SAPP mungkin letak calon di Batu Sapi

BERNAMA

KOTA KINABALU– Parti Maju Sabah (SAPP) berkemungkinan meletakkan seorang calon dalam pilihan raya kecil Parlimen Batu Sapi bulan depan, bakal menyediakan pentas bagi pertandingan tiga penjuru membabitkan SAPP, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Barisan Nasional (BN).

Sungguhpun pemimpin SAPP sehingga kini berdiam diri berhubung kemungkinan parti berkenaan menyertai saingan itu, namun tanda-tanda berhubung hasrat parti itu sudah pun ada.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 4 Nov sebagai hari pengundian bagi kerusi Parlimen Batu Sapi, jika ada pertandingan, manakala penamaan calon ditetapkan pada 26 Oktober.

Dalam apa yang dilihat sebagai petunjuk awal, Ketua Cabang PKR Batu Sapi Datuk Nahalan Damasal menggesa pembangkang supaya membenarkan SAPP bertanding menentang BN dalam pilihan raya kecil Batu Sapi itu.

Semasa membuat gesaan itu dalam sidang akhbar di Lido semalam, yang ironinya dihadiri oleh Ketua Penerangan SAPP Chong Pit Fah, Nahalan dipetik sebagai berkata beliau bersedia membantu calon SAPP dalam pilihan raya kecil itu.

Ditanya tentang perkara ini, Chong berkata setiap orang berhak membuat spekulasi namun parti berkenaan masih belum membuat keputusan mengenainya.

“Nahalan hanya menggesa SAPP supaya bertanding menentang BN tetapi ada juga orang yang menghubungi saya, meminta penjelasan kerana tidak bertanding di Batu Sapi.

“Ini adalah perkara yang perlu dianalisis atau diberi pertimbangan,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Oleh itu, Chong berkata SAPP akan mengadakan mesyuarat khas majlis tertinggi di Luyang esok, untuk membincangkan pendirian parti itu dalam pilihan raya kecil Batu Sapi.

Penganalisis politik tempatan Clarence Sinsua berpendapat SAPP berkemungkinan bertanding dalam pilihan raya kecil Batu Sapi.

“Sejak meninggalkan gagasan BN selepas pilihan raya umum 2008, pemimpin parti lantang mengetengahkan pelbagai isu yang menjejaskan negeri ini... jadi, perkiraan saya ialah SAPP mungkin menggunakan pilihan raya kecil Batu Sapi untuk mengukur sokongan akar umbi sebelum pilihan raya umum akan datang, selain menguji kredibiliti parti berkenaan.

“Saya rasa parti SAPP tidak akan melepaskan peluang keemasan ini, begitu juga dengan Pakatan Rakyat, terutamanya Parti Keadilan Rakyat (PKR).

“Jika kedua-dua parti itu tidak boleh berkompromi berhubung calon tunggal bagi pembangkang, kebarangkaliannya ialah SAPP, PKR dan BN akan terbabit dalam pertarungan sengit,” katanya.

Bagaimanapun, Clarence percaya calon BN daripada Parti Bersatu Sabah (PBS) akan memiliki kelebihan atau berada dalam kedudukan yang lebih baik untuk mengekalkan kerusi berkenaan “apatah lagi, jika SAPP dan PKR menentang sesama sendiri dengan meletakkan calon masing-masing”.

Beliau berkata BN negeri sudah tentu tidak mahu label "fixed deposit" bagi parti BN yang memerintah terjejas oleh pembangkang, lantas menjadikan pilihan raya kecil ini lebih menarik.

“Saya berpendapat bukan mudah bagi pembangkang merampas kerusi itu daripada BN atau membuat kejutan. Kerajaan sekarang, di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, dan Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman di peringkat negeri, terbukti berupaya menunaikan janji, terutamanya menerusi konsep 1Malaysia.

“Pada pengetahuan saya, Batu Sapi menikmati pembangunan di bawah BN. Jadi, parti pembangkang seperti SAPP dan pakatan perlu benar-benar membangkitkan 'isu besar' untuk memenangi hati dan minda pengundi Batu Sapi,” katanya.

Pada pilihan raya umum lepas, BN memenangi 24 daripada 25 kerusi Parlimen yang dipertaruhkan di Sabah, kalah hanya kerusi Kota Kinabalu kepada DAP. Jumlah itu berkurangan kepada 22 kerusi selepas SAPP, yang mempunyai dua anggota Parlimen, keluar daripada BN.

Kerusi Parlimen Batu Sapi kosong berikutan kematian tragik penyandangnya, Datuk Edmund Chong Ket Wah, daripada Parti Bersatu Sabah (PBS) dalam kemalangan jalan raya Sabtu lepas.

Dalam pilihan raya umum 2008, Chong memenangi kerusi Parlimen Batu Sapi setelah menewaskan calon bebas Chung Kwong Wing dengan majoriti 3,708 undi. Chong memperoleh 9,479 undi.

Terdahulu, pengarah pilihan raya PKR Fuziah Salleh berkata PKR akan bertanding dalam pilihan raya kecil Batu Sapi, dengan mengatakan kerusi itu kepunyaan PKR sungguhpun parti itu tidak meletakkan calon pada 2008.

Dua hari kemudian, anggota majlis tertinggi PKR dan Ketua Cabang PKR Tuaran Ansari Abdullah berkata perti itu akan mengadakan mesyuarat dengan SAPP tidak lama lagi bagi memastikan hanya seorang calon daripada pembangkang yang menentang BN.

Beliau berkata PKR sedang dalam proses memuktamadkan calon dengan memberi penekanan kepada dua kriteria – penerimaan rakyat dan kesediaan bakal calon untuk berkhidmat di kawasan berkenaan.

Menurut laman web Suruhanjaya Pilihan Raya Sabah, sehingga 1 Sept tahun ini, Batu Sapi mempunyai 25,720 pengundi dengan 56.01 peratus terdiri daripada Bumiputera Islam, Cina (40.22 peratus) dan lain-lain, tiga peratus.

Batu Sapi terdiri daripada dua kerusi DUN, iaitu Sekong dan Karamunting, dan kedua-duanya diwakili oleh BN di Dewan Undangan Negeri.

23 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

sesiapa pun boleh bertanding jika mahu. terpulang kepada rakyat membuat pilihan. namun BN pasti mempunyai kelebihan kerana kekuatan sokongan rakyat terhadap BN.

Tanpa Nama berkata...

jika SAPP bertanding dalam PRK di Batu Sapi, terdapat kemungkinan berlaku pertandingan tiga penjuru di antara BN, PKR, dan SAPP. apa pun, bertandinglah dengan bersih dan adil.

Jason berkata...

SAPP patut cuba bertanding di pilihan raya kecil parlimen batu sapi bulan depan. Tiada salahnya mencuba. Yang penting calon yang diletak adalah berkelayakan.

Jason berkata...

Best of luck kepada semua calon2x. Pastikan bertanding secara adil dan bersih!

Hamdan Hadillah berkata...

Tidak ada halangan untuk bertanding di PRK Batu Sapi. Tapi mungkin penghantaran SAPP ini akan dapat membantu BN. Terima Kasih SAPP.

Tanpa Nama berkata...

tak kisah SAPP nak ikut bertanding ataupun tak, itu hak masing2, piliharaya Batu Sapi ini bakal berlangsung dgn sengit.

Hosie Masie berkata...

Mari kita nantikan setiap parti yang akan menghantar calon-calon mereka untuk bertanding di PRK Batu Sapi.

lisa berkata...

Sapp patut cuba bertanding supaya penduduk di batu sapi mempunyai lebih banyak pilihan. Semoga pengundi akan membuat pilihan yang terbaik kerana ia menentukan masa depan mereka. Kepada calon2x pula, sila bersaing dengan adil. May the best man!

Unknown berkata...

Bagus lah tue.

Unknown berkata...

Yang penting bertanding secara bersih dan adil. Pengundi haruslah pandai menilai calon mana yang benar2x ikhlas membantu.

Unknown berkata...

Yang penting, jangan alang-alang hantar calon. Isu ini hangat. Siapa yang menang pasti bangga.

Unknown berkata...

Tapi saya masih bersedih di atas kemalangan yang berlaku. Dan sejurus selepas itu ramai pula yang ingin masuk bertanding, walhal belum seminggu pun beliau meninggalkan kita..

evan medhousky berkata...

ada baiknya jika SAPP dapat meletakkan calon di Batu Sapi untuk mengetahui dengan lebih jelas sejauh mana penerimaan rakyat terhadap kepimpinan SAPP.

Antanum berkata...

Tindakan SAPP hanya akan membahagi undian rakyat dan peluang untuk kalah sangat besar!

Unknown berkata...

SAPP letak calon di Batu Sapi. Pendapat saya, Why not SAPP? Baru tahu samada anda akan dapat sokongan rakyat atau tidak? Samada rakyat juga mendokong aspirasi yang diperjuangkan anda selama ni?

Unknown berkata...

saya lihat SAPP tidak akan bertanding...ada sebab tersurat dan tersirat! :)

mike berkata...

mana2 parti berhak untuk meletakkan calon mereka pada PRK ini..PR seolah-olah menekan SAPP agar menjadi kerbau mereka di mana menurut kehendak mereka selaku parti pembangkang terbesar di malaysia.

mike berkata...

SAPP harus menetapkan pendirian mereka..mengikut telunjuk PR atau berpegang kepada prinsip mereka..mungkin SAPP akan menyertai PR..

mike berkata...

jika benar SAPP akan meletakkan calon mereka pada PRK batu sapi bagi mengukur sejauh mana sokongan akar umbi kepada mereka, maka akan berlaku persaingan 3 penjuru di mana akan memberi kelebihan kepada BN.

mike berkata...

terpulang kepada SAPP untuk memutuskan..namun, kalau SAPP tidak ikut bertanding pun tidak akan mengubah apa2..

mike berkata...

apa pun diharap PRK batu sapi akan berjalan dengan lancar dalam suasana yang aman..

Anak Sabah berkata...

Jika SAPP mahu bertanding, biarlah mereka bertanding. Tengoklah apa keputusan selepas pilihanraya kecil Batu Sapi nanti.

Anak Sabah berkata...

Diharapkan pengundi akan membuat pilihan terbaik semasa pilihanraya itu. Selamat mengundi, Batu Sapi!