Sabtu, 23 Oktober 2010

Ringkasnya, tutup cerita Perlembagaan, UMNO pertahan kuasa

Lim Hong Siang

Kenyataan "Perkara 153 terkunci kemas, tidak disinggung biarpun darurat" mengundang respon spontan daripada pembangkang bahawa UMNO tidak diperlukan lagi untuk mempertahankan kedudukan istimewa Melayu. Bagaimanapun, Presiden UMNO, Najib Razak menyangkal kenyataan ini dalam ucapan penggulungannya, sebelum Perhimpunan Agung UMNO ke-61 melabuh tirai, hari ini.

Najib (gambar kanan) merujuk Pakatan Rakyat (PR) sebagai "pihak di sebelah sana", malah menyifatkan pemimpin PR sebagai "pakar pusing" tanpa menyebut nama, "Dia pusing, orang putih kata spinning, dia very good at spinning. Dia kata pula, kalau sudah terkunci, tersimpul mati, jadi tak perlulah UMNO berkuasa. Sebab orang Melayu, kalau alih kuasa pun, orang lain boleh pertahankan. Sebab sudah ada peruntukan dalam Perlembagaan."

Najib menyanggah kenyataan ini, "Ini adalah satu pandangan yang tidak benar sama sekali, kerana walhal peruntukan itu sudah terkunci kemas, tapi kuasa politik perlu di dalam tangan UMNO untuk menterjemahkan prinsip, semangat peruntukan Perlembagaan itu."

"Sebab itulah dalam ucapan saya bab kedua, ketiga penghujungnya sekali, saya tutup ucapan saya dengan mengatakan dalam apa jua keadaan, Putrajaya mesti kita pertahankan!"

Dalam ucapan dasarnya yang bertemakan "Mendaya Bangsa Menerajui Kemakmuran" ketika merasmikan Perhimpunan Agung UMNO ke-61 pada 21 Oktober 2010, Najib (gambar kiri) berkata, "Berpasaklah kepada parti UMNO. Bertetaplah kepada panji-panji Barisan Nasional. Walau berkecai tulang dan juga badan, walau bercerai jasad dari nyawa. Saudara dan saudari, walau apa pun yang terjadi, Putrajaya mesti kita pertahankan!"

Najib terus menuduh bahawa pembangkang memutar-belitkan maksudnya. "Apa mesej tu? Janganlah sampai dia benak... Dia benak, atau orang Negeri Sembilan kata bangang."

"Inilah masalah kita berdepan dengan pembangkang yang selalu memutar sesuatu kepalsuan untuk mengelirukan rakyat jelata. Kita beritahu bahawa UMNO akan menyelamatkan masa depan Melayu dan negara kita yang tercinta..." Beliau menambah selepas disambut tepukan gemuruh, "Tak ada orang lain boleh (melakukan itu)."

"Habis cerita, Tutup buku"

Najib sempat mengusik musuh partinya, PKR, apabila berkata, "Nak kata dia boleh, dulu sibuk dengan reformasi, sekarang ni sibuk baling kerusi. Saya tak sebut si itu, ya?"

"Dalam perhimpunan ini, soal perlembagaan ini tak usah lagilah. Tak usah bangkit oleh sesiapa lagi. Habis, tutup cerita. Kita mara ke depan. Dah habis cerita, tutup buku," katanya.

Bagaimanapun, Perdana Menteri ini cuba meyakinkan orang ramai bahawa agenda Melayu, kedudukan bumiputera akan terus diperjuangkan oleh pimpinan UMNO dan kerajaan. Beliau mengungkit kenyataannya ketika merasmikan persidangan MCA baru-baru ini, "Saya kata dalam sebuah negara, kalau majoriti dalam negara itu memiliki sebahagian kecil daripada kekayaan, itu tidak adil dan tidak menyumbang kepada kestabilan politik tanahair kita."

Malah, beliau meminjam "peringatan" perwakilan, bahawa beliau sebagai anak kepada "pencetus Dasar Ekonomi Baru", iaitu Perdana Menteri kedua Allahyarham Abdul Razak. Najib berkata, "Takkan saya anakandanya, darah yang mengalir dalam badan saya, tidak meneruskan semangat dan prinsip perjuangannya itu?"

Pindaan dalam perlembagaan

Najib yang mengambil alih tampuk pimpinan UMNO sejak Mac 2009, tidak lupa untuk menceritakan pembaharuan yang dibawanya ke dalam parti, iaitu pindaan perlembagaan parti. Malah, beliau menyifatkan pindaan perlembagaan parti ini sebagai salah satu daripada tiga peristiwa yang sangat besar ertinya dalam sejarah UMNO, seiring dengan penubuhan UMNO dan pengharaman UMNO.

"Dia menukar sama sekali asas pemilihan, proses menentukan kepimpinan UMNO yang lebih demokratik dan lebih inklusif, termasuk jawatan Presiden UMNO pun. Nasib Presiden UMNO di tangan 140 ribu (ahli). Tak boleh bersandar lagi kepada kuota. Dulu ada kuota, 58 bahagian mencalonkan, baru layak lawan Presiden. Tuan-tuan ingat senang nak dapat (pencalonan) 58 bahagian?"

Najib berkata, "Saya betul-betul menyerah nasib saya, Tan Sri Muhyiddin (gambar kiri, kiri), Naib-Naib Presiden kepada saudara-saudara sekalian untuk menentukan. Ini dia UMNO. Kita kembalikan kepercayaan ahli, supaya ahli boleh menentukan, dia (calon) boleh buat kerja tak boleh buat kerja? Kalau tak boleh buat kerja dia akan hantar signal (isyarat), kami tidak mahu terus berkuasa tanpa dilihat, dinilai sebagai pemimpin yang boleh berjasa dan berbakti kepada bangsa, ugama dan tanahair."

Hasil perjuangan UMNO

Selain itu, Najib juga menyahut cadangan Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin untuk menjenamakan UMNO, supaya "dividen politik" daripada perjuangan UMNO kembali kepada parti itu. Khairy ketika menggulung perbahasan Perhimpunan Agung UMNO menyebut bahawa orang sudah lupa perjuangan UMNO, sehingga hasilnya dituai parti lain.

Khairy (gambar kiri) memberi contoh, "Saya ingin cadangkan, oleh kerana hari ini kita ada banyak inisiatif kerajaan yang semua baik-baik belaka, ETP, NKEA, NKRA, GTP dan segalanya, tetapi semua ini adalah kerja kerajaan. Saya risau, dividennya tidak dapat kepada UMNO dan Barisan Nasional. Perlu kita jenamakan UMNO sebagai penggerak tranformasi rakyat menjelang pilihan raya yang akan datang."

Dalam ucapan Najib selepas itu, beliau juga mendakwa bahawa "UMNO tak bawa, atau tidak jual cerita" tentang apa yang telah dilakukan, kerana sudah lama berkuasa sebagai "kerajaan". Beliau mengingatkan, "Ini adalah hasil perjuangan UMNO, bukan orang lain!"

Juara social network

Di samping itu, walaupun Perhimpunan Agung UMNO kali ini tercalar apabila menghalau wartawan beberapa media internet untuk membuat liputan sebermulanya, Najib tetap berbicara soal media baru, "Kita mesti jadi juara media baru juga. Jangan puak-puak sana saje. Masing-masing mesti ada Facebook, mesti ada Twitter, macam-macam mesti buat."

Beliau menambah, "Zaman sekarang ni pakai IT, pakai Facebook, social network. Kita ni mesti jadi juara social network. Mesti!"

Sindiran "depan belakang"

Apa yang menarik, Najib, malah beberapa pemimpin dalam UMNO tidak melepaskan kesempatan untuk menyindir Ketua Umum PKR, Anwar Ibrahim dengan tuduhan liwat terhadapnya, biarpun tidak menyebut nama.

Misalnya, ketika Najib menyifatkan pembangkang "memusing" (spin) kenyataannya, beliau berkata "dalam bab tu dia pusing juga". Malah, semasa Najib mengisahkan bagaimana dirinya menyatakan pendiriannya di depan Presiden MCA, beliau beberapa kali menekankan "di depan", mengundang gelak di bawah pentas.

Nasihatnya untuk "jaga orang di bawah", disusuli dengan "jangan main di atas sahaja", kemudian dicelah Pengerusi Tetap UMNO, Badruddin Amiruldin (gambar kanan), "belakang pun jangan".

Ketua sayap Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin, mengulangi gelaran "Cerberus" terhadap Pakatan Rakyat, menyindir dengan berkata "satu kepala mahu menubuhkan negara Islam, satu lagi kepala nak tubuhkan negara sama rata, sama rasa. Satu lagi kepala nak tubuhkan negara depan belakang sama sahaja."

*Lim Hong Siang ialah Editor MerdekaReview, edisi bahasa Malaysia.

Tiada ulasan: