Sabtu, 9 Oktober 2010

Puteri UMNO Sedia Galas Tanggungjawab Rampas DUN Galas

BERNAMA

LAHAD DATU: Pergerakan Puteri Umno Malaysia bersedia menggalas apa juga tanggungjawab yang bakal diberikan kepada pergerakan itu untuk merampas kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas kembali ke pangkuan Barisan Nasional (BN).

Ketuanya Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata pihaknya sudah menghantar sekumpulan kecil anggota pergerakan itu ke Galas untuk meninjau keadaan di sana bagi membolehkan Puteri mengatur strategi dalam pilihan raya itu nanti.

"Perjumpaan dengan pihak jentera pilihan raya di Galas akan diadakan secepat mungkin. Satu perkara yang kita tekankan kali ini ialah strategi.

"Strategi kita akan berbeza mengikut kesesuaian kawasan di Galas," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Karnival Panel Penasihat Klinik Kesihatan (PPKK) Peringkat Negeri Sabah di sini, Sabtu.

Menurut Rosnah memandangkan kawasan Galas juga berada di Kelantan maka pendekatan kempen pergerakan itu ketika pilihan raya kecil Manek Urai akan diguna pakai dengan mengubah suai stareginya mengikut situasi khusus di Galas.

"Untuk DUN Galas ini, kita akan ada trategi khusus kerana kita dimaklumkan lebih 60 peratus pengundi DUN berkenaan terdiri daripada pengundi muda. Jadi fokus tumpuan kita ialah 'satu dengan satu' kepada pengundi," katanya.

Katanya Puteri juga menyokong keputusan pucuk pimpinan Umno melantik Ketua Umno Bahagian Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah sebagai Pengarah pilihan raya DUN berkenaan dan akan memberi sokongan penuh kepada siapa sahaja calon BN dalam pilihan raya itu nanti.

Pilihan raya kecil itu diadakan di Galas berikutan kematian Adunnya Chek Hashim Sulaima, 46, dari PAS. Penamaan calon ditetapkan pada 26 Okt manakala hari pengundian ialah pada 4 November.

Tiada ulasan: