Ahad, 24 Oktober 2010

Pusat Dialisis Rakyat Bukti Kerajaan Prihatin

Oleh NAEEM RAFFI

SHAH ALAM – Satu lagi Pusat Dialisis Rakyat, atau PDR, dilancar kerajaan negeri di Sementa, Kapar hari ini, setelah kemudahan yang sama di Taman Medan, Ulu Klang, Ampang dan Jalan Kebun, mendapat sambutan menggalakkan daripada penduduk setempat.

Kerajaan negeri dengan kerjasama Syarikat Gedung Penawar Sdn Bhd, menjalin usahasama membantu rakyat di bawah Paras Garis Kemiskinan (PGK) yang memerlukan rawatan dialisis.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kebajikan Rodziah Ismail berkata, pusat khidmat dialisis rakyat ini juga bertujuan memudahkan akses rakyat kepada rawatan kesihatan.

“Alhamdulillah, hari ini kita sama-sama menyaksikan satu lagi Pusat Dialisis Rakyat, ditubuhkan untuk kemudahan rakyat,” katanya.

Pemilihan kawasan untuk PDR bergantung kepada permintaan dan jumlah penduduk yang memerlukan. Keseluruhannya terdapat 5 buah iaitu di Sementa, Taman Medan,Ulu Klang, Ampang dan Jalan Kebun.

“Bagi yang mampu, kami sediakan tempat dengan waktu menunggu yang singkat, serta dekat, merupakan kombinasi bagi memudahkan rakyat, tidak kira miskin mahupun kaya, namun yang miskin kita tangani masalah kewangan mereka,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Tiga itu.

Rodziah dalam ucapannya memberitahu, kerajaan negeri prihatin bahawa ramai pesakit yang memerlukan khidmat ini tetapi tidak banyak kemudahan yang disediakan untuk menampung keperluan ini.

“Bagi mereka yang kurang berkemampuan, pihak Gedung Penawar akan menguruskan supaya ia tidak dikenakan bayaran,” katanya.

Sementara itu, pada majlis yang sama, Rodziah turut menguar-uarkan satu Skim Kesihatan Wanita, khusus untuk wanita Selangor berumur 30 tahun dan ke atas. Mereka boleh mendaftar secara percuma untuk pemeriksaan memogram dan ultrasound.

“Kempen kita kepada wanita, kita mahukan 1 juta wanita Selangor sihat, kerana wanita adalah tulang belakang keluarganya, sihat wanita sihatlah keluarganya,” jelasnya.

Majlis Perasmian dihadiri seramai 200 penduduk setempat. Turut hadir, Ahli Parlimen Kapar, S.Manikavasagam, wakil YDP MPK Dawari Daud, Ketua Pengarah Operasi Rantai Mesra, Kamsani Nasir, Ketua Pengarah Gedung Penawar, Fadhil Darus.


Tiada ulasan: