Rabu, 20 Oktober 2010

PRU-13: SPR nafi, terkejut dakwaan sudah ada bajet RM250 juta

KUALA LUMPUR — Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menafikan dakwaan bahawa pihaknya sudah disediakan RM250 juta sebagai bajet tahun depan untuk mengendalikan pilihan raya umum ke-13, yang kini menjadi spekulasi banyak pihak.

Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, apa yang dibangktikan oleh Ketua Umum Pakatan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat adalah tidak benar sama sekali.

“Itu tak betul, apa yang dia cakap itu tak betul... sama sekali tak betul, tak betul, bohong betul,” kata Abdul Aziz dengan ketawa besar ketika dihubungi The Malaysian Insider.

“Ya, saya pun gelak apabila dengar kami sudah diberikan RM250 juta sebagai bajet pilihan raya umum.. secara rasmi memang tak betul (dakwaan itu),” kata beliau sambil mendakwa, “itu mungkin cakap politik beliau (Anwar).”

Abdul Aziz juga berkata, setakat ini SPR tidak membuat sebarang anggaran mengenai pilihan raya umum ke-13 dan justeru, tidak mengemukakan sebarang permohonan kepada Perbendaharaan.

“Biasanya kami akan membuat anggaran, tap kami tak buat anggaran (sehingga sekarang), orang bisik (pasal pilihan raya) pun tak ada.

“Jadi, macam mana boleh membuat permohonan mendapatkan peruntukan mengadakan pilihan raya umum,” katanya lagi.

Dalam mengendalikan pilihan raya umum 2008, SPR menggunakan kira-kira 200,000 petugas dan diberi peruntukan RM200 juta, jumlah terbesar dalam sejarah pilihan raya setakat ini.

SPR diperuntukkan kira-kira RM115 juta pada 2004.

Ketika membahaskan ucapan Bajet 2011 di Dewan Rakyat kelmarin, Anwar mendakwa SPR disediakan dengan peruntukan besar hampir RM250 juta untuk perbelanjaan tahun depan, didakwanya sebagai persiapan menghadapi pilihan raya umum tergempar.

Anwar membangkitkan perkara ini di tengah-tengah spekulasi bahawa pilihan raya umum ke-13 kemungkinan diadakan tahun depan.

Pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat juga mendakwa Bajet 2011 yang diumumkan Jumaat lalu sebagai “bajet pilihan raya”.

Ketua Pembangkang memberitahu Dewan Rakyat bahawa beliau dimaklumkan oleh “sumber-sumber dalaman” mengenai peruntukan tersebut dan menuntut penjelasan daripada kerajaan.

“Kami ada menerima maklumat. Dan, saya ingin mengetahui perkara sebenar... bahawa SPR telah dimaklumkan peruntukan sebanyak RM250 juta, disediakan kepada agensi itu sebagai perbelanjaan tahun depan,” kata Anwar.

Kata beliau, ia berbeza daripada angka peruntukan RM35 juta yang akan disalurkan kepada suruhanjaya itu oleh Kementerian Kewangan.

Semalam, Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak dikatakan telah meminta pemimpin Umno di semua peringkat supaya membuat persiapan rapi menghadapi pilihan raya umum akan datang bagi memastikan Umno terus menjadi peneraju utama kerajaan BN.

Mesej jelas itu disampaikan Najib kepada perwakilan dan anggota Majlis Tertinggi Umno pada sesi taklimat tertutup presiden sempena Perhimpunan Agung Umno 2010.

Bagaimanapun SPR sedang membuat persiapan untuk mengadakan pilihan raya negeri Sarawak, yang mandat kerajaan negeri akan berakhir Julai 2011.

Pun begitu, Abdul Aziz mengakui suruhanjaya itu ada disediakan peruntukan biasa tahunan di bawah Bajet 2011.

“Bajet biasa itu adalah, tetapi dana untuk mengadakan pilihan raya umum ke-13 tiada,” katanya lagi.

Dalam pertemuan dua bulan lalu, beliau menolak kemungkinan pilihan raya umum ke-13 akan diadakan tahun depan.

Tiada ulasan: