Selasa, 26 Oktober 2010

Projek landasan berkembar capai kemajuan 52 peratus: Presiden KTMB

BERNAMA

PADANG BESAR – Pembinaan landasan keretapi termoden di bawah Projek Landasan Berkembar Elektrik dari Ipoh ke Padang Besar, kini mencapai kemajuan sebanyak 52 peratus, kata presiden Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) Dr Aminuddin Adnan.

Beliau berkata projek bernilai RM2.5 bilion yang bermula pada 7 Jan 2008 itu, dijadual mengambil masa lima tahun untuk siap.

Katanya, berdasarkan pencapaian kerja yang dilakukan kontraktor iaitu MMC-Gamuda Joint Venture Sdn Bhd, pembinaan landasan yang membabitkan negeri Perak, Kedah, Pulau Pinang dan Perlis, setakat ini berjalan lancar.

“Projek pembinaan landasan sepanjang 329 kilometer itu terbahagi kepada dua jajaran iaitu Jajaran Utama dan Jajaran Kedah,” katanya pada sidang akhbar selepas majlis pelancaran Tren Kargo dengan Satu Lokomotif Terpanjang di Malaysia dan Asia Tenggara di stesen KTMB Padang Besar hari ini.

Aminuddin berkata bagi Jajaran Utama, ia melibatkan landasan Ipoh, Perak dan Butterworth, Pulau Pinang sepanjang 171 kilometer, manakala Jajaran Kedah pula membabitkan Bukit Mertajam, Pulau Pinang dan Padang Besar, Perlis sejauh 158 kilometer.

Katanya, landasan itu akan digunakan untuk 200 perjalanan kereta api dalam sehari, sekaligus meningkatkan prestasi sistem pengangkutan tersebut.

Tiada ulasan: