Isnin, 11 Oktober 2010

Polis musnah bom perang terbesar di S'wak

BERNAMA


Sepasukan Unit Pemusnah Bom (UPB) polis hari ini telah berjaya memusnahkan sebiji bom seberat kira-kira 450 kilogram yang dipercayai dijatuhkan oleh tentera British semasa Perang Dunia Kedua berdekatan Sekolah Menengah Kerajaan Lutong, kira-kira 12 km dari Miri.

Bom paling besar pernah ditemui di negeri ini terpaksa diletupkan dua kali bermula dari pukul 2.45 petang bagi mengelakkan kemungkinan berlaku kerosakan di sekitar kawasan terbabit.

Pegawai Turus Logistik dan Persenjataan Polis Kontinjen Sarawak, ASP Wan Zulkifli Wan Ali yang mengetuai operasi itu berkata bom berkenaan juga ditanam kira-kira 3.66 meter sebelum diletupkan.

Polis di Miri telah dimaklumkan berkenaan penemuan bom itu kira-kira pukul 2.00 petang Jumaat lepas dan ekoran dari saiznya yang agak besar telah merujuk kepada Ibupejabat Polis Sarawak di Kuching.

Seorang pekerja binaan menemui bom berkenaan semasa sedang menggali lubang menggunakan sebuah jentera pengorek.

Wan Zulkifli yang tiba semalam mengetuai sepasukan 10 orang pakar dari UPB Sarawak dan Bukit Aman untuk memulakan kerja-kerja pemusnahan bom berkenaan.

Kawasan dalam lingkungan 1.5 km dari tempat penemuan itu juga turut dikosongkan sementara kira-kira 81 orang terdiri dari anggota Polis, Pasukan Gerakan Am dan Rela telah dikerah untuk membuat kawalan di pinggir kawasan lingkungan yang ditutup.

Kira-kira 700 orang penduduk dari dua buah kampung yang berdekatan juga ditempatkan sementara di sebuah sekolah rendah di Lutong semasa operasi pemusnahan itu bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini berlaku.


Tiada ulasan: