Jumaat, 22 Oktober 2010

PKNS Kerjasama Dengan TM-I Laksana Sistem Integriti Korporat

Oleh Suara Keadilan

KISHAH ALAM - Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) bersetuju untuk melaksanakan Sistem Integriti Korporat Bersepadu dalam pengurusan dan pentadbiran Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).

Dalam satu kenyataan media Rabu lalu, Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid berkata komitmen kerajaan negeri Selangor terhadap integriti, ketelusan dan kecekapan tidak berbelah bagi dan walaupun telah berjaya mengurangkan amalan rasuah di semua peringkat kerajaan dan anak syarikat kerajaan negeri, usaha diteruskan untuk memastikan semua urusan di bawah tanggungjawab pentadbiran adalah 100 peratus bersih dan bebas daripada sebarang unsur yang tidak diingini.

"Kerajaan Selangor akan bekerjasama dengan Transparency International Malaysia yang telah setuju untuk membimbing dan memberi nasihat kepada PKNS dalam merangka, menandatangani dan melaksanakan Sistem Integriti Korporat Bersepadu.

"Sistem Integriti Korporat Bersepadu akan melengkapi usaha-usaha PKNS untuk meningkatkan kecekapan dan mengelak risiko berlakukanya rasuah. Sistem ini juga dapat meningkatkan kesedaran awam mengenai sistem pengurusan, pentadbiran dan corak perniagaan PKNS dan secara langsung menaikkan lagi reputasi dan imej anak syarikat kerajaan Selangor," tegas Abdul Khalid.

Tambah beliau Sistem Integriti Korporat Bersepadu ini dibahagikan kepada tiga komponen bahagian iaitu Kemudahan Infrastruktur, kemudahan peralatan integriti seperti Integriti Pact, Whistle Blowing Policy dan polisi anti rasuah dan komponen ketiga, latihan kepada kakitangan.

"Kita menjangkakan Sistem Integriti Korporat ini akan dilaksanakan secara menyeluruh dalam urusan PKNS pertengahan tahun depan.

"Pelaksanaan sistem ini akan diintegrasikan dengan usaha-usaha yang Kerajaan Selangor, termasuk mendeklasifikasikan dokumen, minit mesyuarat, tender terbuka dan, pada tahun hadapan, meluluskan Enakmen Kebebasan Maklumat di sidang Dewan Negeri Selangor." jelas beliau lagi.

Tiada ulasan: