Sabtu, 16 Oktober 2010

PIBG mahu SPRM siasat lantai sekolah runtuh

Mohd Shubihi Muhamad Zain

ALOR SETAR: Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Gunung yang lantai sebuah bilik darjahnya runtuh mahu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat kemungkinan berlakunya penyelewengan semasa proses membaik pulih bangunan itu.

Pengerusi PIBG, Zulkifli Che Haroon berkata, kejadian itu dipercayai berpunca daripada kerja pengubahsuaian bangunan yang tidak mengikut spesifikasi dan tidak mengambil kira kekuatan struktur binaan berusia lebih 50 tahun itu.

"Kami difahamkan kontraktor yang membuat kerja pengubahsuaian itu kira-kira tiga tahun lalu hanya menyimen lantai kayu lama dan membiarkan bahagian bawah lantai kayu itu lompong hingga menjadi punca runtuhan.

"PIBG amat kesal dengan kejadian yang berlaku yang berpunca dari kecuaian segelintir pihak yang dipertanggungjawabkan untuk kerja-kerja membaik pulih bangunan dan PIBG berharap siasatan menyeluruh semua agensi terbabit bagi mengenal pasti punca sebenar, termasuk kemungkinan berlakunya penyelewengan semasa proses membaik pulih bangunan itu.

"SPRM perlu menyiasat, kita tak mahu kejadian seperti ini berulang lagi di masa depan dan kita tidak mahu ada pelajar yang terkorban seperti yang berlaku ke atas SJK(C) tak berapa lama dulu," katanya.

Dalam kejadian kelmarin, seramai 34 murid Tahun Empat sedang bersila atas lantai kelas berkenaan mengikut kelas Pendidikan Islam sebelum lantai simen itu runtuh dan membentuk lubang besar sedalam hampir satu meter.

Kesemua pelajar yang tercedera dikejarkan ke Hospital Sultanah Bahiyah, dekat sini untuk menerima rawatan. Dua daripadanya patah kaki dan dimasukkan ke hospital berkenaan manakala mereka yang lain dirawat sebagai pesakit luar sebelum dibenarkan pulang.

Menurut Zulkifli lagi, pihaknya tidak akan berdiam diri dengan apa yang terjadi memandangkan ianya melibatkan aspek keselamatan pelajar yang berada di sekolah itu.

"Aspek keselamatan pelajar kita tak boleh pandang ringan, tambahan pula ketika mereka berada di dalam kawasan sekolah dan saya berharap pihak yang terbabit dalam siasatan kejadian tidak mengenepikan PIBG apabila laporan itu siap kelak.

"PIBG akan meneliti laporan tersebut secara mendalam sebelum kami mengambil tindakan selanjutnya," katanya.

Tiada ulasan: