Sabtu, 23 Oktober 2010

Perwakilan UMNO Kritik Program Transformasi Najib, Dakwa Terdapat 7 Kelemahan

KELAB GREENBOC

Wakil Melaka dakwa 7 kelemahan program transformasi

UMNO Melaka semalam mendakwa tujuh kelemahan dikenal pasti dalam program transformasi negara, Model Baru Ekonomi (MBE) dan Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) yang dijangka merugikan bangsa Melayu pada masa depan.

Wakilnya, Datuk Hasnoor Sidang Husin, berkata antaranya tidak ada agenda khusus dan mantap bagi memastikan ekonomi Melayu dilaksana secara berkesan, tidak mengambil kira faktor keadilan sosial dan keharmonian kaum serta menetapkan 40 peratus orang Melayu berpendapatan rendah.

Selain itu, katanya, dasar baru itu mengamalkan konsep liberalisasi dalam semua sektor yang akan menguntungkan golongan yang kuat iaitu bukan Melayu, mengurangkan peranan kerajaan dengan memberi keutamaan kepada sektor swasta dan lebih kepada kadar pertumbuhan berbanding pengagihan.

"Sebarang model, rancangan yang ingin dilaksanakan, ia perlu mengambil kira kepentingan orang Melayu. Dalam kita mengejar kemajuan dalam negara, jangan sampai orang Melayu jadi pengemis dalam negara sendiri, membiarkan daging dinikmati orang lain sedangkan bangsa Melayu dapat tulang sebagai makanan," katanya membahaskan usul ekonomi di sini, semalam.

Katanya, pasaran terlalu bebas akan meninggalkan kesan kebencian kepada kaum yang memonopoli sehingga menimbulkan keadaan negara yang tidak stabil.

Sehubungan itu, katanya, sudah sampai masanya, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak meneliti pelaksanaan dasar itu secara berkesan tanpa kompromi dengan membentuk satu sistem ekonomi bersandar kepada keadilan sosial dan komposisi kaum iaitu Bumiputera 67 peratus dan bukan Bumiputera 33 peratus.

Tiada ulasan: