Jumaat, 22 Oktober 2010

Perwakilan: Umno jangan jadi Pak Pandir

Salhan K Ahmad

Seorang pembahas di Perhimpunan Agung Umno 2010 hari ini mencabar ahli parti itu supaya melengkapkan diri mereka dengan ilmu dan tidak bersikap seperti 'Pak Pandir.'

Secara berseloroh, wakil Kelantan Datuk Md Alwi Che Ahmad berkata gelagat 'Pak Pandir' itu boleh diperhatikan apabila mereka menjalankan tugas tanpa maklumat yang lengkap.

Dalam ucapannya, beliau menceritakan bagaimana seorang 'Pak Pandir' ditugaskan untuk menghantar sejumlah ayam dengan menaiki motosikal.

'Pak Pandir' itu bagaimanapun terlibat dalam kemalangan menyebabkan ayam-ayam yang dibawa itu bertempiaran lari, kata Md Alwi lagi.

Tambahnya, beberapa orang di tempat itu cuba membantu Pak Pandir untuk menangkap ayam-ayam berkenaan, namun Pak Pandir cuma ketawa melihat keadaan itu.

"Pak Pandir kata, (Ayam-ayam) itu hendak pergi ke mana sebab alamat ada dengan aku. Kita jangan jadi bodoh macam itu," kata Md Alwi lagi yang disambut gelak ketawa hadirin.

Bercakap ketika membahaskan usul ucapan dasar presiden hari ini, Md Alwi juga berkata Umno juga tidak mendapatkan sokongan walaupun giat memberikan banyak bantuan, seperti yang diperhatikannya di Kelantan.

Katanya, sumbangan oleh Umno itu tidak mempunyai "roh keikhlasan," menyebabkan penerimanya tetap menyokong parti lawan walaupun bantuan demi bantuan dihulurkan.

"Kita bagi peruntukan, kita bina banyak PPR (Projek Perumahan Rakyat) harga RM33,000 tapi bila nak mengundi dia mengundi 'bule' (bulan atau PAS). Sebab rumah tak ada api (bekalan elektriK," katanya.

Menurutnya, sokongan itu kemudiannya berubah apabila PAS menjanjikan untuk menyalurkan bekalan elektrik itu kepada pengundi berkenaan.

Tiada ulasan: