Khamis, 14 Oktober 2010

Permohonan injunksi ditolak, UKM boleh dengar kes disiplin empat pelajar



Empat penuntut UKM (dari kiri) Woon, Hilman, Ismail dan Azlin Shafina akan menghadap mahkamah universiti itu selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan injunksi untuk menghalang tindakan disiplin oleh pihak universiti.

KUALA LUMPUR – Empat penuntut Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) akan menghadap mahkamah universiti itu selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menolak permohonan injunksi bagi menghalang pusat pengajian tinggi itu mengambil sebarang tindakan disiplin terhadap mereka.

Keputusan dibuat Hakim Mahkamah Tinggi Rayuan dan Kuasa-kuasa Khas Datuk Aziah Ali selepas mendengar hujah lisan daripada kesemua pihak minggu lalu.

Empat pelajar tersebut Hilman Idham, 21; Ismail Aminuddin, Azlin Shafina Adzha dan Woon King Chai masing-masing 22 tahun didakwa kerana bersimpati dengan parti politik semasa pilihan raya kecil Hulu Selangor, April lalu.

Aziah juga memutuskan supaya keempat-empat pelajar tersebut menanggung kos guaman bagi perbicaraan mereka sebelum ini yang mencabar tindakan menghadapkan mereka di Mahkamah UKM di bawah Seksyen 15(5)(A) Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU).

Mereka mencabar seksyen itu yang didakwanya bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan, namun telah ditolak 28 September lalu.

Keempat-empat pelajar tersebut diwakili peguam Malik Imtiaz Sarwar, Ashok Kandiah dan Haris Ibrahim.

Sementara itu, pihak defendan terdiri daripada kerajaan Malaysia, Kementerian Pengajian Tinggi yang diwakili peguam Aida Adha Abu Bakar manakala UKM diwakili peguam Datuk Muhammad Shafee Abdullah.

Menurut Haris, mahkamah telah membut keputusan untuk menolak permohonan injunksi itu.

“Dengan keputusan ini pihak pengurusan UKM boleh mengambil tindakan disiplin terhadap anak guam saya.

“Tapi kita telah failkan rayuan di Mahkamah Rayuan, Putrajaya. UKM tidak boleh ambil tindakan disiplin sehingga kita mendapat perintah daripada mahkamah rayuan untuk menghalangnya,” katanya.

Mereka berempat ditahan oleh pihak polis di Pekan Rasa dan Ampang Pecah pada 22 April lalu.

Tiada ulasan: