Selasa, 5 Oktober 2010

Perkasa: Kami tiada niat mahu lagakan Azmin Ali-Mustaffa

KUALA LUMPUR – Perkasa menolak dakwaan bahawa pertubuhan bukan kerajaan itu membawa agenda mahu melaga-lagakan dua naib presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mustaffa Kamil Ayub dan Azmin Ali yang bersaing jawatan timbalan presiden parti.

Ketua Pemuda Perkasa, Arman Azha Abu Hanifah berkata pihaknya hanya memberikan pandangan kerana melihat Mustaffa mempunyai asas perjuangan yang kuat untuk membela Islam dan juga orang Melayu.

“Perkasa memberikan pandangan kepada perwakilan (ahli PKR) untuk memilih pemimpin yang mempunyai latar belakang yang kuat kepada kepentingan agama dan orang Melayu.

“Bila melihat calon-calon lain yang bertanding bagi jawatan itu (timbalan presiden), hanya beliau (Mustaffa) yang dilihat mempunyai kriteria sebegitu,” kata beliau kepada The Malaysian Insider.

Katanya, beliau akan terus memberikan sokongan moral kepada Mustaffa walaupun menolak pendirian Perkasa.

Beliau juga menegaskan pandangan yang dikeluarkan itu bukan berujuan melaga-lagakan pemimpin-pemimpin PKR.

“Kenapa harus takut apabila Perkasa memberikan pandangan? Adakah pemimpin PKR kini takut akan hilang kuasa dan jawatan sehingga takut untuk memperjuangkan perkara asas sebagai pemimpin Melayu iaitu perjuangan agama dan tanah air.

“Kita tiada niat untuk melaga-lagakan kepimpinan PKR, hanya memberikan pandangan. PKR percaya kepada kebebasan bersuara. Kenapa bila saya memberikan pandangan mereka gentar... ia adalah kebebasan saya,” katanya lagi.

Tengah hari tadi, Mustaffa mengingatkan Perkasa supaya tidak menjadi “batu api” antara beliau dan Azmin dalam perebutan jawatan timbalan presiden PKR.

“Sekiranya Perkasa mahu melihat saya bersengketa dengan saudara Azmin dan (Datuk) Zaid Ibrahim, saya nak tegaskan bahawa seluruh pemimpin PKR matang dalam menangani politik busuk Perkasa-Umno ini,” kata beliau.

Sehubungan itu, Mustaffa yang bertanding jawatan timbalan presiden PKR berkata, beliau percaya ahli-ahli dan pemimpin parti tidak akan terperangkap dengan usaha Perkasa yang cuba untuk melaga-lagakan mereka.

“Sebab itu saya minta Perkasa supaya menghentikan politik perkauman ekstrem.

“Hentikan sandiwara perkauman yang bertujuan untuk menjatuhkan imej PKR,” katanya.

Arman berkata, pihaknya bukan pertubuhan bukan kerajaan pelampau, sebaliknya bertindak mengikut ruang lingkup Perlembagaan Persekutuan.

“Jadi isu ekstrem ini tidak timbul,” katanya.

Semalam, Perkasa yang kecewa dengan kenyataan Azmin yang mengaitkan pertubuhan itu dengan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, menggesa ahli-ahlinya tidak mengundi beliau yang bertanding jawatan timbalan presiden PKR, sebaliknya meminta supaya memilih Mustaffa.

Arman berkata, Mustaffa adalah calon paling layak bagi jawatan timbalan presiden kerana latar belakangnya dari Abim.

Jawatan timbalan presiden PKR setakat ini dijangka ditandingi oleh Azmin, Mustaffa dan Zaid

Tiada ulasan: