Khamis, 7 Oktober 2010

PERKASA jadi 'raksasa' kerana media

Salhan K Ahmad & Regina Lee

Media yang memberi liputan terlalu luas kepada Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) sehingga NGO tersebut kini menjadi begitu popular dan ditakuti masyarakat, kata setiausaha agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Beliau menyifatkan PERKASA sebagai satu makhluk raksasa yang mengerikan, dan menyalahkan media kerana menyebabkan pertubuhan berkenaan dipandang sedemikian.

Bercakap dalam satu wawancara dengan Malaysiakini, beliau cuba mententeramkan keadaan dengan mengatakan PERKASA juga sama seperti pertubuhan lain yang memperjuangkan hak kaum masing-masing di negara ini seperti Dong Jiao Zong.

“PERKASA cuma satu NGO, ada banyak lagi NGO lain. Kita akan bersama dengan mana-mana NGO yang boleh membantu kita," katanya ketika ditanya mengenai hubungan di antara Umno dengan pertubuhan tersebut.

Beliau ditanya demikian, susulan daripada kenyataannya yang bercanggah sebelum ini mengenai hubungan antara Umno dan BN dengan PERKASA.

Ketika bercakap kepada sebuah portal berita, Tengku Adnan dilaporkan telah menyatakan pendirian bahawa BN perlu menjauhkan diri daripada PERKASA kerana tindakan pertubuhan itu telah menghakis sokongan bukan Melayu kepada parti berkenaan.

Beliau juga memberitahu sebuah akhbar berbahasa Inggeris bahawa PERKASA telah menjadi satu bebanan kepada BN kerana pertubuhan yang diketuai ahli parlimen Pasir Mas Datuk Ibrahim Ali itu sering berbalah dengan pemimpin parti itu.

Media dipersalahkan

Bagaimanapun, beliau mengambil pendirian berbeza, susulan daripada kenyataan perdana menteri Datuk Seri Najib Razak pada 17 September lalu bahawa parti itu tidak berdepan sebarang masalah dengan PERKASA walaupun terdapat usaha di kalangan pemimpin Umno untuk menjauhkan diri daripada pertubuhan itu.

Tengku Adnan berkata, pihak media yang sepatutnya dipersalahkan kerana memperbesar-besarkan isu mengenai PERKASA.

“Kenapa anda bercakap tentang PERKASA? Siapa yang cipta PERKASA? Anda semualah, (pihak) media. Bagi saya, kalau ikutkan saya, saya akan 'black out' berita mengenainya.

"Ada banyak lagi NGO lain, kenapa tidak bercakap tentang mereka?" soalnya yang nyata tidak senang apabila diajukan soalan berkenaan.

PERKASA dilihat telah menyaingi fungsi Umno dalam memperjuangkan isu berkaitan Melayu dan mendakwa telah menarik pengaruh yang besar di kalangan anggota masyarakat tersebut - dengan keahlian yang didakwa mencecah 200,000 orang di seluruh negara.

Sebanyak 60 peratus daripada ahlinya juga merupakan ahli Umno, seperti yang didakwa oleh presidennya sendiri sebelum ini.

Apabila ditanya sejauhmana benarnya dakwaan itu, Tengku Adnan sekadar berkata, Umno tidak menyekat mana-mana ahlinya untuk menyertai pertubuhan lain.

“Umno ada ahli dalam pelbagai NGO seperti Abim (Angkatan Belia Islam Malaysia), GPMS (Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung) dan PERKASA. Saya juga di dalam Abim sebelum ini, sebab bagi kita, kita mahu berkhidmat kepada masyarakat," tambahnya.

Tiada ulasan: