Selasa, 19 Oktober 2010

Perhimpunan untuk menilai persiapan hadapi pilihanraya


1 umno bm Oleh Muda Mohd Noor

PETALING JAYA: Perhimpunan agung Umno yang bermula malam ini tidak lain tidak bukan untuk menilai parti itu dalam menghadapi pilihanraya umum akan datang, kata pemerhati politik tempatan.

Datuk Seri Najib Tun Razak akan memberi ucapan perasmian yang pertama sejak dilantik menjadi presiden Umno dan perdana menteri selepas menggantikan Tun Abdullah Ahmad Badawi, April tahun lalu.

Para perwakilan berjumlah 4,907 orang dan lebih 2000 pemerhati akan mendengar ucapan dasar Presiden yang akan diperbahaskan disamping usul ekonomi, pendidikan dan agama.

"Perhimpunan kali ini melihat sejauh mana sokongan pergerakan itu kepada wawasan 1Malaysia ciptaan perdana menteri.

"Semua orang tahu sambutan orang Umno terhadap wawasan 1Malaysia bercampur-campur. Bagi menghadapi pilihanraya sudah tentu 1Malaysia akan dibahaskan.

"Sudah tentu orang yang akan membahaskannya ialah perwakilan dari kumpulan yang menyokong Tun Abdullah," kata pemerhati politik berkenaan.

Menurut beliau, Khairy merupakan penyokong kuat wawasan Najib tetapi sukar untuk menentukan ahli Pemuda lain turut menerima wawasan 1Malaysia itu.

Manakala isu mengenai pembahagian kerusi pilihanraya antara Umno dengan komponen BN lain dijangka akan dibahaskan secara panjang lebar.

Ini kerana sejak beberapa perhimpunan terdahulu, sudah ada perwakilan Umno yang kecewa dan tidak puashati keraan kerusi tradisi Umno terlepas kepada parti lain.

"Isu ini akan kedengaran lebih kuat kali ini apatah lagi jika prestasi Umno dalam pilihanraya umum lalu diambil kira.

"Sudah tentu pagi perwakilan yang tegar Umno mahu kerusi berkenaan dikembalikan kepada parti itu," katanya.

Menurut pemerhati politik itu lagi, beberapa isu lain yang dijangka diketengahkan ialah perpaduan Melayu; penguasaan ekonomi dan isu yang berkaitan agama Islam.

Malam ini Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin akan merasmikan sayap Pemuda, Wanita dan Puteri Umno secara serentak di PWTC kira-kira jam 8 malam.


Tiada ulasan: