Selasa, 19 Oktober 2010

Perhimpunan Agung Umno 2010 bermula

BERNAMA

KUALA LUMPUR — Perhimpunan Agung Umno 2010 bermula hari ini dengan majlis perasmian serentak tiga sayap Umno iaitu pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri.

Perasmian akan disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang juga Timbalan Presiden Umno di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, pukul 8 malam ini.

Petang ini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, yang juga Presiden Umno akan menyampaikan amanatnya pada majlis taklimat tertutup pada pukul 3 petang di Dewan Merdeka, PWTC, yang turut dihadiri oleh anggota Majlis Tertinggi Umno, Exco Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri serta Ketua-ketua Bahagian.

Perhimpunan Agung kali ini, yang akan berlangsung selama lima hari, melibatkan 4,907 perwakilan.

Sementara itu Forum Antarabangsa 2010 yang julung-julung kali diadakan sempena Perhimpunan Agung kali ini bersambung hari ini dengan dua lagi sesi panel perbincangan dan enam ahli panel menyampaikan pendapat masing-masing mengenai isu-isu antarabangsa.

Penutupan forum itu dijadual akan disempurnakan oleh Najib, tengah hari ini.

Forum dua hari bertajuk "Pembentukan Warga Global: Liberalisasi Media dan Reliati Baru Politik" itu melibatkan lebih 400 peserta dari dalam dan luar negara termasuk 63 peserta dari 22 parti politik dari 20 buah negara, 54 peserta dari Kelab Umno Luar Negara serta penganalisis-penganalisis politik.

Semalam, ketika merasmikan pembukaan forum itu, Muhyiddin berkata rakyat malaysia memerlukan akses yang cepat bagi menangani pelbagai cabaran baru.

Turut menyampaikan ucaptama semalam adalah bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang turut mengingatkan kerajaan supaya mendengar pandangan media yang liberal untuk lebih memahami pemikiran semasa orang ramai.

Tiada ulasan: