Sabtu, 9 Oktober 2010

Pemuda UMNO JB Mahu Pengerusi Hindraf Dihalang Masuk Negara

BERNAMA

JOHOR BAHRU: Pemuda Umno Bahagian Johor Baharu mahu Pengerusi Hindraf P. Waytha Moorthy dihalang daripada memasuki negara ini berikutan tindakannya mempertikaikan titah yang dibuat oleh Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar. Ketuanya Khalid Mohamad berkata kenyataan Waytha Moorthy menerusi laman web Free Malaysia Today itu tidak boleh dimaafkan kerana beliau seolah-olah mempersoalkan kuasa yang dimiliki oleh raja-raja Melayu.

"Kita akan meminta kerajaan supaya menghalang kemasukan pengerusi Hindrafitu ke negara ini serta pada masa yang sama menutup laman web Free Malaysia Today kerana ia merupakan ancaman kepada keselamatan negara ini," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas mengetuai demonstrasi aman seramai 200 orang bagi membantah kenyataan yang dibuat oleh pengerusi Hindraf itu di Terminal Pengangkutan Awam Larkin, di sini, Sabtu.

Khalid berkata demonstrasi secara aman itu juga bertujuan untuk mengingatkan masyarakat agar tidak sesekali mempersoalkan kuasa raja-raja Melayu sertamempertikaikan hak-hak keistimewaan Melayu yang telah termaktub di dalam Perlembagaan.

Sultan Johor pada 4 Oktober lepas mengingatkan semua pihak agar jangansekali-kali mempersoalkan kuasa raja dan mempertikaikan hak serta keistimewaanorang Melayu sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Baginda bertitah, ini kerana akhir-akhir ini ada pihak yang begitu ghairah memperjuangkan kaumnya dan mempertikaikan hak dan keistimewaan orang Melayu yangtelah diperuntukkan sekian lama dalam perlembagaan.

"Mereka ini adalah golongan yang cetek akal dan hanya bercakap mengikut selera sendiri tanpa meneliti sejarah pembentukan Perlembagaan Persekutuan.

"Tindakan ini akan hanya merosakkan keharmonian hubungan kaum dan kesejahteraan hidup masyarakat negara ini," titahnya pada majlis perasmian seminar khas Perlembagaan Persekutuan Peringkat Johor di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada baru-baru ini.

Tiada ulasan: