Ahad, 17 Oktober 2010

Pembangkang bertegas bajet 2011 bajet pilihan raya

BERNAMA

KUALA LUMPUR – Sungguhpun dinafikan oleh pemimpin kerajaan, namun pihak pembangkang tetap berpendirian bahawa Bajet 2011 yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini adalah bajet pilihan raya.

Mereka mendakwa pelbagai insentif yang diumumkan termasuk tidak menaikkan kadar tol lebuh raya Utara Selatan (Plus) bagi tempoh lima tahun, pemberian bantuan kewangan khas kepada penjawat awam serta penetapan gaji minimum bertujuan memenangi hati rakyat.

Anggota Parlimen Bachok yang juga Timbalan Presiden PAS, Nasharuddin Mat Isa mendakwa apa yang dibentangkan itu secara jelas menjurus ke arah pilihan raya.

“Pembentangan bajet ini jelas bahawa ia untuk pilihan raya umum ke-13 akan datang. Jangkaan kami sebelum ini, meletakkan (pilihan raya) daripada bulan enam ke atas, tetapi dari apa yang dibentangkan ini, bagi saya mungkin lebih awal daripada bulan enam,” katanya kepada pemberita.

Namun beliau menyambut baik peruntukan kepada sistem perbankan dan kewangan Islam yang disifatkannya mampu berkembang kukuh untuk tahun hadapan.

Sentimen sama turut disuarakan oleh Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mendakwa bajet yang dibentangkan Najib tidak menyeluruh dan tidak mencapai matlamatnya dalam membantu rakyat.

“Saya tengok ada kelemahan besar (dalam bajet ini) kerana masalah rasuah, penyelewengan dan pembaziran tidak disebut dan hanya disebut projek-projek mega yang seperti biasa akan memberi manfaat yang lebih besar berbilion kepada kroni dan keluarga, ratus ringgit kepada rakyat,” katanya yang juga Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat.

Anwar yang juga Anggota Parlimen Permatang Pauh mendakwa bajet kali ini tidak mempunyai hala tuju yang jelas sebaliknya hanya membentangkan projek-projek gergasi yang akan dilaksanakan dan memberi manfaat kepada golongan tertentu berbanding keperluan rakyat.

Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP, Dr Tan Seng Giaw berkata beliau tertarik dengan peruntukkan yang diumumkan oleh kerajaan kepada Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi yang boleh memperkasakan modal insan di negara ini.

“Cumanya saya tidak nampak macam mana peruntukkan ini digunakan dengan berkesan dan saya berharap kerajaan dapat melaksanakan dengan lebih berkesan strategi yang direncanakan menerusi peruntukan belanjawan hari ini,” katanya yang juga Anggota Parlimen Kepong.

Anggota Bebas dari Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali mengalu-alukan cadangan kerajaan untuk memberikan pinjaman 100 peratus kepada golongan eksekutif muda untuk memiliki rumah sendiri yang berharga bawah RM220,000.

Walau bagaimanapun, beliau berharap kerajaan harus mengenakan syarat terhadap pihak pemaju dalam memastikan kuota pemilikan rumah diagih secara adil dan saksama bagi mengelakkan monopoli.

“Sekurang-kurangnya, kerajaan harus memastikan kuota pemilikan rumah dimiliki oleh Bumiputera sebanyak 30 hingga 50 peratus,” katanya.

Tiada ulasan: