Isnin, 18 Oktober 2010

Pelan lebih konstruktif tangani gejala sosial

Dzulfikar Mashoor

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Kota Raja, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, PAS wajar mencadangkan suatu pelan yang lebih konstruktif supaya dilihat lebih layak memerintah kerajaan pusat serta menangani gejala sosial secara holistik.

Justeru, katanya rancangan sekolah mengandung untuk menangani gejala buang bayi di kalangan pelajar tidak wajar ditolak mentah-mentah

"Saya tidak menolak sepenuhnya, tetapi sebagai parti yang nak memerintah, PAS merasakan bahawa ia (gejala buang bayi) memalukan kita semua kerana gagal menangani semua ini secara konstruktif.

"Kita sendiri pun tidak tahu apakah korikulum (Sekolah Harapan) ini, jadi saya perlu melihat korikulumnya terlebih dahulu sebelum menerima atau menolaknya," ujarnya kepada Harakahdaily.

Disebabkan itu, beliau yang juga AJK PAS Pusat berpendapat, PAS wajar mempopularkan Pusat Pemulihan dan Pembelaan Wanita Raudhatus Sakinah menggantikan projek Sekolah Harapan.

"Sekarang pusat pemulihan seperti Raudhatus Sakinah yang bukan sahaja menyelamatkan pelajar yang termengandung tapi akidah dan akhlak mereka," ujarnya.

"Kalau Sekolah (Harapan) ini memang menyelamatkan mereka dan memastikan mereka yang terbabit ini boleh terus belajar, tetapi Raudatus Sakinah menawarkan lebih dari itu."

Pun begitu, katanya langkah memperkenalkan sekolah atau pusat pembelaan seperti Raudatus Sakinah semata-mata adalah tidak memadai melainkan perlu disokong oleh suatu sistem pendidikan dan pencegahan yang bersepadu.

"Yang masuk Sekolah Harapan ini adalah budak perempuan, budak lelaki yang terbabit bagaimana.

"Dengan teknologi sekarang yang menggunakan DNA, kita boleh mengenal pasti siapa bapaknya," ujar sambil berpendapat bahawa pasangan pelajar perempuan terbabit pun perlu dipulihkan juga.

Tambahnya lagi, Kementerian Pelajaran wajar memperkenalkan subjek yang lebih progresif seperti Pendidikan Hidup atau 'Education Life'.

"Pertama, soal persiapan perempuan sebagai ibu dan persiapan lelaki sebagai bapa perlu, kemahiran keibubapaan ini saya lihat sekarang secara sambil lalu.

"Kalau kita memerintah, saya minta modul-modul 'Pendidikan Hidup' ini diterapkan di peringkat sekolah lagi kerana anak-anak kita akan terdedah dengan alam pencintaan dan kita perlu mengajarnya pada fitrah percintaan yang sihat mengikut agama dan budaya kita," ujarnya.

Tidak cukup dengan itu, pihak oposisi katanya wajar membahaskan suatu Rang Undang-Undang Gaya Hidup Sihat sebagai langkap pencegahan.

"Kalau tujuan kerajaan hanya untuk pastikan pelajar-pelajar yang mengandung ini meneruskan pelajaran, memadai ada sekolah ini.

"Tetapi, selagi kita tiada ada suatu rang undang-undang gaya hidup yang sihat, ia hanya menyelesaikan masalah gejala buang bayi, bukan gejala sosial secara keseluruhannya," ujarnya.

Sehubungan itu, beliau mengajak rakyat memberi mandat pada PAS dan Pakatan Rakyat pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) supaya kerajaan yang baru boleh melaksanakan polisi gaya hidup sihat yang jauh lebih baik dari polisi sosial yang sedia ada pada era kerajaan Umno BN sekarang.

Tiada ulasan: