Ahad, 17 Oktober 2010

Pelajar ditemui mati di ladang sawit di Teluk Intan

BERNAMA

IPOH — Seorang pelajar perempuan ditemui mati dipercayai dibunuh di ladang kelapa sawit Rubana di Teluk Intan di sini hari ini.

Mayat Dirya Barathi A/P Murali, 16, ditemui tanpa pakaian di dalam parit kira-kira 7.30 pagi oleh orang awam.

Polis kemudiannya menjumpai pakaian seragam sekolah mangsa tidak jauh dari situ.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, ACP Goh Kok Liang berkata polis mendapati mayat mangsa dalam keadaan terlentang. Mayat telah dihantar ke Hospital Teluk Intan.

Beliau berkata motif kejadian masih belum diketahui dan tidak menolak kemungkinan mangsa telah dirogol.

Mangsa dikatakan keluar rumah di waktu pagi untuk ke Sekolah Menengah Horley Methodist, sejauh 8 km dari rumahnya dan tidak pulang sehingga lewat petang.

Kehilangan mangsa telah dilaporkan oleh bapanya K. Murali, 43, yang bekerja sebagi ketua pengawal estet pada 9 malam tadi di Ibu Pejabat Polis Daerah Hilir Perak, kata Goh.

Setakat ini belum ada tangkapan dibuat dan polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian supaya menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Hilir Perak di talian 05-6212222.

Tiada ulasan: