Selasa, 26 Oktober 2010

Pejabat Pengerusi PKR Pahang dipecah masuk

SINAR HARIAN ONLINE

KUANTAN - Pejabat milik Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pahang Datuk Fauzi Abd Rahman di Bukit Sekilau di sini, dipecah masuk mengakibatkan beliau kehilangan dua komputer yang mengandungi maklumat peribadi dan perniagaannya.

Fauzi berkata, kejadian itu disedarinya pukul 10.15 pagi ini apabila beliau ke pejabat dan mendapati pintu pejabat itu terbuka.

"Tindakan suspek yang hanya melarikan dua unit komputer dan tidak mengambil barangan berharga lain menjadi tanda tanya. Jika suspek berhasrat mencuri komputer, terdapat banyak kedai menjual peralatan itu di sini tetapi kenapa pejabat ini yang dipilihnya," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Beliau percaya suspek merupakan pihak yang pakar pecah rumah kerana pejabat berkenaan berhampiran dengan restoran 24 jam yang sentiasa dikunjungi orang ramai.

"Suspek dipercayai masuk melalui bumbung restoran berkenaan dan mengumpil pintu jeriji pejabat dan memotong mangga. Saya menemui satu lubang pada siling pejabat yang dipercayai menjadi laluan masuk suspek," katanya.

Beliau membuat laporan polis mengenai kejadian itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan hari ini.

Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Jasmany Mohd Yusoff ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

Tiada ulasan: