Jumaat, 22 Oktober 2010

PATI antara 14 peniaga ditahan ketika berniaga di pasar malam

KENINGAU KINI

KENINGAU: Seorang Pendatang Tanpa Izin (PATI) di antara 14 orang peniaga warga asing yang dokumen mereka meragukan, ditangkap ketika menjalankan perniagaan di kawasan pasar malam.

Menurut Unit Penguatkuasa Majlis Daerah Keningau, mereka yang tangkap didapati menjalankan perniagaan di kawasan pasar malam tanpa lesen.

Kesemua barang dagangan mereka yang bernilai kira-kira RM2000 dirampas, sementara pendatang tanpa izin yang ditangkap, dirujuk ke Jabatan Imigresen Malaysia untuk tindakan lanjut .

Operasi bersepadu yang melibatkan Polis, Jabatan Imigresen, Jabatan Kastam, Kementerian Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna itu diketuai oleh Unit Penguatkuasa Majlis Daerah Keningau (MDK), turut mengenalpasti ‘pengeliruan pemilikan petak berniaga’.

“Pemilik petak adalah penduduk tempatan, tetapi disewakan kepada warga asing,” jelas seorang jurucakap penguatkuasa yang enggan namanya dipetik.

Sejak Jumaat, MDK menjalankan tiga fasa operasi penguatkuasaan melibatkan bangunan yang melakukan penyambungan/tambahan premis menangani penjaja ikan haram dan menangani penyalahgunaan pemilikan petak perniagaan di kawasan pasar malam.

Pegawai Kerja MDK, Alfian Koroh, memberitahu, operasi seumpama itu dilaksanakan secara berterusan dalam usaha memartabatkan undang-undang di bandar kecil Keningau.

Orang ramai yang diminta reaksi menjelaskan, operasi berterusan yang dijalankan oleh Unit Penguatkuasa MDK telah mengembalikan kepercayaan rakyat terhadap integriti badan berkuasa itu.

“Untuk menjadikan Keningau sebagai sebuah bandar, ketegasan seperti ini amat diharapkan oleh rakyat,” jelas seorang pesara politik yang enggan namanya dipetik.

Peniaga tempatan bagaimanapun mendesak supaya pengurusan MDK melakukan penapisan semula terhadap pemilikan petak perniagaan di kawasan pasar malam, dalam usaha memastikan matlamat kewujudan pasar malam yang hanya membenarkan penduduk tempatan beraktiviti di situ benar-benar tercapai.

“Kami mahu MDK benar-benar telus dalam perkara ini,” jelas seorang peniaga di sini.

Menurut mereka sebahagian daripada petak perniagaan yang diberikan kepada penduduk tempatan, telah disewakan kepada warga asing atau orang lain yang sepatutnya tidak berhak.

Pengurusan Majlis Daerah Keningau ketika dihubungi telah bersetuju dengan cadangan-cadangan positif itu.

Tiada ulasan: