Jumaat, 1 Oktober 2010

PAS tiada masalah dengan Ku Li


IMG00296-20100930-1247 Oleh Fazy Sahir

KUALA LUMPUR: Parti Islam Semalaysia (PAS) tiada masalah dengan Ahli Parlimen Tengku Razaleigh Hamzah yang dilantik sebagai Pengarah Pilihan Raya bagi merebut kerusi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Galas, Kelantan.

Naib Presiden Salahuddin Ayub berkata "hubungan PAS dengan Ku Li, yang juga Ketua Umno Bahagian Gua Musang itu tetap baik walaupun beliau ditugaskan oleh Barisan Nasional untuk merampas semula kerusi kawasan itu, yang suatu ketika dahulu menjadi kubu kuat Umno.

Salahuddin berkata, beliau tidak akan menyentuh mengenai penglibatan Ku Li namun mempersoalkan kenapa Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengelak dari menjadi Pengarah Pilihan Raya seperti sebelum ini.

"Timbalan Perdana Menteri, bila Pilihan Raya Kecil akan jadi pengarah, mengapa kali ini nak lari? Kenapa Umno lari dari norma biasa bagi PRK Dun Galas ini? soal beliau, yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian.

PAS katanya, sentiasa bersiap sedia dalam menghadapi pilihan raya kecil Dun Galas namun lebih bersikap tidak terlalu yakin memandangkan cabaran yang bakal dihadapi mereka kelak cukup besar.

Ujar beliau, "PAS anggap ini satu cabaran besar, jentera PAS perlu bersiap sedia, jangan ‘terlalu over confident’, jangan rasa selesa yang penting PAS akan meningkatkan keupayaan dan komitmen.

"Cabaran PAS ialah supaya menghadapi rintangan ini dengan bijak," katanya dalam sidang media di ibu pejabat PAS di sini hari ini.

Kerusi DUN Galas kosong berikutan kematian penyandangnya, Chek Hashim Sulaima, 46, dari PAS pada 28 September lalu kerana barah usus.

Chek Hashim menewaskan calon BN Mohamad Saufi Deraman dalam pilihan raya umum 2008 dengan majoriti 646 undi.

Calon PAS itu mendapat 4,399 undi mengalahkan Mohd Saufi memperolehi 3,753 undi.

Dun Galas mempunyai komposisi kaum dengan majoriti Melayu seramai 6,200 orang, Cina (1,900), India (170) dan Orang Asal (2,000).

Calon bukan Islam?

Sementara itu, Salahuddin berkata PAS tidak pernah merendahkan kekuatan lawan dan sentiasa memberi komitmen untuk mempertahankan kerusi di Galas.

"PAS tidak pernah merendahkan kekuatan pihak lawan dan semua faktor perlu diambil kira. Parti perlu ambil kedudukan, ini sikap yang lebih baik daripada kita terlalu yakin kerana ia tidak membantu.

"Kami perlu menghitung semua aspek teknikal, fizikal dan komitmen untuk mempertahankan kemenangan di Galas," tambahnya.

Mengulas mengenai hasrat Dewan Himpunan Penyokong PAS yang mahu meletakkan calon bukan Islam, Salahuddin berkata mana-mana pihak boleh menyatakan cadangan dan parti akan membuat keputusan lanjut berhubung hal itu.

Kata Salahuddin, PAS akan bermesyuarat 3 Oktober ini bagi membincangkan lebih lanjut berhubung PRK Galas.

"Presiden (Ustaz Abdul Hadi Awang) turut akan mengumumkan Pengarah Pilihan Raya yang dilantik pihak PAS nanti," katanya.

Turut hadir dalam sidang media ialah peguam parti Hanipa Maidin; Adun Paroi Mohamad Taufek Abd Ghani; Pengerusi Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak), Mazlan Aliman dan Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan Zulkefly Mohd Omar.

Tiada ulasan: