Khamis, 21 Oktober 2010

Parang misteri: Kakak, abang ipar Aminulrasyid nafi milikinya


IMG00152-20101021-1359 Oleh Jamilah Kamarudin

SHAH ALAM: Tiga saksi kes kematian remaja akibat ditembak polis Aminulrasyid Amzah hari ini menafikan bahawa parang yang ditemui di belakang bonet kereta Proton Iswara itu milik mereka.

Saksi ke-20 yang juga kakak Aminulrasyid Tuty Shaniza Anum, bapa mertua Tuty Mahali Ramlan (SP21), serta suaminya Muzaffar Mahali (SP22) masing-masing semasa disoal balas menafikan pernah memiliki mahupun meletakkan parang itu dibonet kereta terbabit sebelum kejadian.

Tuty dalam keterangannya memberitahu mahkamah bahawa penama sebenar kereta Proton Iswara Aeroback (auto) putih yang dipandu Aminulrasyid pada malam kejadian adalah bapa mertuanya.

Mahali semasa giliran sesi soal balas juga menafikan kewujudan parang terbabit. Kereta yang dibeli Mahali pada tahun 2006 itu bertukar tangan kepada Tuty pada tahun 2007 dan beliau menyambung bayaran ansuran bulanan.

Keluarga tidak pernah ajar Aminulrasyid memandu

Selain itu, Tuty, 36, juga memberitahu mahkamah sesyen bahawa adiknya tidak pernah belajar atau diajar memandu kereta.

Tuty ketika disoal Timbalan Pendakwa Raya Mohd Dusuki Mokhtar berkata, adik bongsunya itu tidak pernah diajar memandu oleh keluarganya kerana segala aktiviti Aminulrasyid, ibunyalah yang menghantar dan menjemput pulang.

Malah beliau juga tidak tahu menahu adiknya itu menggunakan keretanya pada malam kejadian.

S: Aminulrasyid pernah bawa kereta awak sebelum hari kejadian (26 April 2010)?

A: Tidak pernah

S: Pernah ajar Aminulrasyid bawa kereta?

A: Tidak pernah sama sekali

S: Bagaimana adik beradik lain? Pernah ajar?

A: Tidak pernah

S: Dalam pengetahuan awak, ada pernah dia belajar memandu?

A: Tak pernah tahu

S: Malam 25 April 2010, ada Aminulrasyid beritahu anda nak keluar dan nak guna kereta?

A: Tiada. Kebiasaannya dia akan beritahu hendak pergi kemana dan mak sendiri akan hantar ketempatnya.

Aminulrasyid tiada di bilik tidur

Tuty berkata beliau menyedari kehilangan keretanya apabila menerima panggilan telefon daripada suaminya yang ketika itu berada di Klang dan bertanyakan kereta terbabit kira-kira 3 pagi.

Beliau kemudiannya turun untuk memeriksa dan mendapati keretanya tiada di perkarangan rumah ibunya di Seksyen 11.

"Suami suruh saya tanya siapa yang guna kereta itu dan menyuruh saya melihat adik beradik yang lain dirumah.

"Ketika itu baru saya sedar Aminulrasyid tiada dibiliknya," katanya.

Kereta terjongket, berlumuran darah

Beliau kemudiannya bergegas keluar rumah apabila melihat kerlipan lampu kereta polis peronda di hujung jalan rumah ibunya.

Bimbang dengan situasi yang berlaku, beliau ke tempat kejadian dan melihat keretanya berada dalam keadaan terjongket dikelilingi pita kuning polis di Jalan Tarian.

"Saya tanya polis apa yang terjadi namun mereka kata atas arahan pihak atasan mereka tidak boleh beritahu.

"Kemudian semasa polis mengangkat kereta saya dengan trak, saya dapat lihat bahagian depan kereta remuk, cermin belakang terdapat kesan tembakan, serta tempat duduk pemandu dan penumpang sebelah hadapan dilumuri darah," katanya.

Hakim Latifah Mohd Tahar kemudiannya menetapkan perbicaraan kes bersambung pada 28 Oktober depan.

Tiada ulasan: