Ahad, 24 Oktober 2010

Pangsapuri Mewah Dijadikan Makmal Proses Dadah

SELANGOR KINI

GEORGE TOWN – Polis menyerbu sebuah pangsapuri mewah di Lebuh Sungai Pinang 2 dan menahan dua lelaki serta merampas dadah jenis heroin dengan nilai pasaran RM1 juta, berhampiran Lebuh Raya Jelutong di sini, semalam.

Turut dirampas dalam serbuan pada pukul 11.45 pagi itu ialah peralatan memproses dadah, sepucuk pistol jenis Barreta dan satu magazine berisi 13 butir peluru.

Dengan serbuan ke atas pangsapuri yang disyaki dijadikan makmal memproses dadah itu, polis percaya berjaya melumpuhkan kegiatan memproses dadah jenis heroin, kata Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Tun Hisan Tun Hamzah.

Beliau berkata, turut dirampas ialah empat kenderaan, iaitu Proton Waja, Proton Saga, Perodua Kenari dan motosikal, barangan kemas, seutas jam tangan, mata wang asing dan komputer riba.

“Dadah yang dirampas ialah heroin nombor 3 seberat 21 kilogram, heroin base seberat 300 gram dan kafein seberat 113 kilogram,” katanya dipetik Bernama pada sidang akhbar di sini hari ini.

Tun Hisan berkata, pangsapuri mewah yang diserbu oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dan JSJN Pulau Pinang itu telah disewa selama dua bulan oleh pihak terbabit, dipercayai bagi menjalankan kegiatan haram itu.

Beliau berkata kedua-dua lelaki tempatan berusia 40 dan 41 tahun itu kini ditahan reman sehingga Jumaat.

Tiada ulasan: