Selasa, 12 Oktober 2010

Pakatan tidak pinggir pembangunan umat Islam

Mohd Ali Hashim

GEORGETOWN: Kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang tidak pernah meminggirkan pembangunan masyarakat Islam, kata Timbalan Ketua Menteri 1, Datuk Dr Mansor Othman.

Sehubungan itu, katanya kerajaan negeri akan mewujudkan dua buah organisasi untuk manfaat jangka panjang umat Islam menjelang akhir tahun ini.

Institut Latihan Dakwah (ILD) dan Yayasan Dakwah Islam (YDI) Pulau Pinang merupakan dua entiti berlainan bertujuan untuk memberi latihan dan juga kursus khususnya bagi melahirkan kader-kader untuk perkembangan agama dan pembangunan masyarakat Islam di negeri ini.

Menurut beliau lagi, setelah ILD bergerak, maka semua pengerusi kariah masjid seluruh Pulau Pinang akan diwajibkan bagi mengikuti kursus kepimpinan bagi menambahkan ilmu kepimpinan yang perlu ada pada setiap pengerusi yang ingin memimpin.

Katanya, mereka akan didedahkan dengan pelbagai aspek kepimpinan supaya ianya tidak saja terikat kepada ibadah tetapi juga memperkembangkan ia supaya dapat menjadi seorang pemimpin untuk membina masyarakat.

Ini, ujarnya termasuklah mendekatkan diri dengan remaja, pemuda dan semua golongan masyarakat manakala YDI pula akan bergerak cergas sebagai sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang mempunyai entiti berlainan.

Ketika bercakap kepada media selepas Majlis Ijtimak Huffaz peringkat negeri, semalam, beliau berkata, ia akan menggerakkan usaha kerajaan negeri bagi memberi perhatian terhadap pendidikan, sosioekonomi dan ukhwah.

"Usaha yang diambil oleh kerajaan negeri ini membuktikan bahawa sebagai pemimpin Melayu dan Islam di negeri ini, kita tidak meminggirkan pembangunan masyarakat Islam.

"Pengiktirafan seramai 180 para huffaz yang ada dalam negeri Pulau Pinang buat kali ketiga tahun ini adalah satu kejayaan yang belum pernah dilakukan oleh Kerajaan BN terdahulu walaupun mereka memerintah lebih lama dari PR di Pulau Pinang," katanya lagi.

Turut hadir dalam majlis penganugerahan tersebut ialah Yang Dipertua negeri, Tun Dr Abdul Rahman Abbas, Ketua Menteri, Lim Guan Eng, Timbalan Yang Dipertua Majlis Agama Islam Pulau Pinang, Ustaz Mohd Salleh Man, Exco Hal Ehwal Agama, Abdul Malik Abul Kassim dan Speaker Kerajaan Negeri, Datuk Abdul Halim Hussain.

Tiada ulasan: