Khamis, 14 Oktober 2010

Pakar: Ada tanda penetrasi dubur Saiful tapi tiada penemuan klinikal



Tiada kesan klinikal penetrasi ditemui pada Saiful (kedua kanan). — gambar fail

KUALA LUMPUR — Pakar patologi forensik memberitahu mahkamah bahawa memang ada tanda-tanda wujudnya penetrasi di bahagian dubur saksi utama kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim meskipun tiada penemuan klinikal untuk menyokong kejadian itu.

Pakar forensik Hospital Kuala Lumpur Dr Siew Sheue Feng berkata, kekurangan kesan ekoran penggunaan bahan pelincir kemungkinan menyebabkan tiadanya kesan klinikal penetrasi ke atas Mohd Saiful Bukhari Azlan.

“En Saiful memberitahu saya apa yang berlaku, dia telah diliwat oleh seorang personaliti berprofil tinggi selama beberapa bulan,” kata Dr Siew di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pagi ini.

Malah menurut Dr Siew, Saiful juga memberitahunya bahawa kondom tidak digunakan ketika hubungan seks luar tabii itu.

Anwar sedang dalam perbicaraan terhadap dakwaan meliwat Saiful, bekas pembantunya itu, di Unit 11-5-1, Kondomonium Desa Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, Kuala Lumpur, antara pukul 3.01 petang dan 4.30 petang, 26 Jun 2008.

Perbicaraan disambung semula hari ini, kira-kira seminggu selepas seorang lagi pembantu Anwar, Rahimi Osman, yang juga rakan Saiful, membuat laporan polis mendakwa dia telah dipaksa menandatangan dua akuan bersumpah berkaitan dengan kes liwat Anwar.

Rakan Dr Siew, Dr Khairul Nizam Hassan yang turut memeriksa Saiful memberitahu mahkamah bahawa tiada penemuan klinikal penetrasi pada dubur saksi utama itu.

Bagaimanapun sebagaimana dikatakan oleh Dr Siew, Dr Khairul memberitahu bahawa penetrasi juga boleh wujud tanpa tanda kecederaan.

Dr Khairul yang mendapatkan sampel-sampel daripada Saiful menambah, beliau menemui kesan air mani pada kapas kesat B5, B7, B8, B9, tetapi tiada kesan didapati pada kapas kesat yang lain

Tiada ulasan: