Isnin, 4 Oktober 2010

Pak Kudus Selamat Dikebumikan

Oleh Fazli Othman

SHAH ALAM - Pengasas Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), Allahyarham Abdul Kudus Omar aka Pak Kudus selamat dikebumikan di tanah perkuburan Kampung Parit Serong, kira-kira pukul 6.30 petang semalam.

Ketua Cabang KEADILAN Tanjung Karang Mohd Yahya Mat Sahri berkata jenazah Pak Kudus sebelum itu di bawa ke Masjid Kampung Parit Serong dari Institut Jantung Negara (IJN) Kuala Lumpur untuk memberikan ruang kepada sahabat handai, saudara mara dan jiran tetangga memberikan penghormatan terakhir.

Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim di dalam 'twitter'nya menyifatkan Pak Kudus sebagai seorang sahabat yang setia dan merupakan pejuang dan reformis yang kental pada era Reformasi.

"KEADILAN kehilangan seorang pejuang keadilan, iringan doa semoga rohnya diangkat bersama golongan solihin," ujar beliau.

Sebelum itu, Presiden KEADILAN Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang menziarahi Pak Kudus di IJN membacakan Surah Yassin sebelum jenazah di bawa ke kampung halamannya untuk dikebumikan.

Dr Wan Azizah berkata kehilangan Pak Kudus amat dirasai dan berdoa semoga rohnya ditempatkan bersama-sama orang yang beriman.

Beliau meninggal dunia kira-kira pukul 11.40 pagi tadi di IJN setelah dimasukkan ke Unit Penjagaan Intensif (ICU) sejak minggu lalu.

Beliau pernah memegang jawatan Ketua Cabang Tanjung Karang sebelum memberi laluan pada Mohd Yahya pada pemilihan kali ini.

Tiada ulasan: