Rabu, 6 Oktober 2010

Orang Asli Dun Galas sedia bantu PAS

Mohd Nor Yahya

KOTA BHARU: Masyarakat Orang Asli dari Gua Musang memberi sokongan padu kepada kepimpinan ulama di Kelantan dan sanggup bekerja keras bagi membantu kemenangan PAS dalam pilihan raya kecil N45 Dun Galas nanti.

Menurut wakil Masyarakat Orang Asli, Pandak Bin Panjang Ey, 39, kejayaan PAS di Gua Musang juga dibantu oleh kaum mereka dan untuk kali ini mereka sanggup membina satu pasukan sendiri bagi memberi penerangan kepada masyarakat Orang Asli dan Melayu di dalam Dun Galas.

“Saya berharap untuk pilihan raya kecil kali ini, PAS Kelantan memberi kebebasan kepada jentera yang dibentuk oleh kami bagi memberi penerangan tersendiri kepada orang kami dan kalau boleh kami ingin menjadi penceramah di pentas PAS di kawasan orang Melayu juga,” ujar beliau yang disambut dengan tepukan orang ramai.

Beliau berucap demikian di Majlis Ramah Mesra Pimpinan Negeri Bersama Masyarakat Orang Asli di Kediaman Rasmi JKR 10.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakub mewakili Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pada majlis yang turut dihadiri Speaker Dun Kelantan, Datuk Nasruddin Daud dan Exco Kerajaan Negeri.

Pandak juga berharap kerajaan Kelantan lebih peka tentang permasalahan masyarakat Orang Asli terutamanya berkaitan dengan masalah pemilikan tanah.

Sementara itu, Datuk Ahmad Yakub berkata, pelbagai dasar dan pelaksanaan telah dibuat untuk meningkatkan ekonomi dan pembangunan masyarakat Orang Asli.

Beliau juga memberitahu, sehingga kini seramai 240 Orang Asli telah dimasukkan dalam senarai peserta Ladang Rakyat.

“Kita seberapa daya usaha telah membawa perubahan dalam kehidupan masyarakat Orang Asli ini dan alhamdulillah, kerjasama dari tuan-tuan amat memberangsangkan,” kata beliau.

Tiada ulasan: