Selasa, 26 Oktober 2010

OC Phang pohon tangguh kes hingga perbicaraan Ling selesai

THE MALAYSIAN INSIDER

Phang meninggalkan Mahkamah Sesyen di Shah Alam bersama peguamnya Ng (kiri). — gambar fail

SHAH ALAM — Mahkamah Sesyen di sini menetapkan 15 November untuk membuat keputusan terhadap permohonan bekas Pengurus Besar Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) OC Phang, yang menghadapi tiga pertuduhan pecah amanah melibatkan RM254.85 juta, untuk menggantung segala prosiding perbicaraan terhadapnya sehingga kes membabitkan bekas menteri pengangkutan Tun Dr Ling Liong Sik selesai.

Hakim Asmadi Hussain membuat keputusan itu setelah diberitahu peguam Francis Ng Aik Guan, yang mewakili Phang manakala Timbalan Pendakwa Raya Dzulkifli Ahmad tiada bantahan.

Perbicaraan kes membabitkan Phang sebelum ini ditetapkan selama empat hari bermula hari ini.

Ketika prosiding hari ini, Ng meminta mahkamah perbicaraan yang ditetapkan sehingga Jumaat ini dilapangkan untuk membolehkan pihak pendakwaan membuat afidavit balasan dan pihaknya akan menjawab afidavit itu sekiranya perlu.

Dzulkifli berkata memandangkan permohonan dikemukakan pada Jumaat lalu, pihaknya memerlukan masa sekurang-kurangnya dua hari untuk meneliti isu-isu dibangkitkan di dalam permohonan itu.

Terdahulu, Ng memberitahu mahkamah bahawa pihak pembelaan, semasa membuat persediaan, mendapati berlakunya pertindihan berhubung beberapa isu berkait terus dengan pertuduhan dihadapi oleh Dr Ling.

Ng berkata pihaknya memfailkan satu permohonan pada 21 Oktober lalu dan disokong dengan afidavit Phang yang menjelaskan alasan-alasan untuk penggantungan prosiding.

Di dalam permohonan itu, Phang menjelaskan bahawa beberapa pembayaran tertentu melibatkan projek Mega Distribution Hub yang menjadi intipati pertuduhan terhadap Dr Ling, kini menjadi perkara di dalam tiga pertuduhan yang dihadapinya.

Bekas pengurus besar LPK itu meminta mahkamah agar mengeluarkan satu arahan kepada pihak responden (pihak pendakwaan) agar membekalkan segala dokumen yang dipohon di dalam surat pembelaan bertarikh 14 April 2010.

Phang berkata dokumen berkaitan meliputi segala minit mesyuarat Jemaah Kabinet and persuratan Kementerian Pengangkutan berkaitan dengan kelulusan projek Mega Distribution Hub di Pelabuhan Klang.

Phang, 63, didakwa sebagai pengurus besar yang diamanahkan bagi dana dalam sebuah akaun di RHB Bank Berhad, melakukan pecah amanah membabitkan RM98,700,000 di LPK, Jalan Pelabuhan Utara, Pelabuhan Klang antara 1 Okt 2004 dan 5 September 2005.

Phang menghadapi dua lagi tuduhan serupa masing-masing membabitkan RM21,600,000 dan RM134,550,000, yang didakwa dilakukan di tempat sama antara 30 September 2005 dan 9 Mei 2006 dan antara 1 Jun 2005 dan 13 Januari 2006.

Pertuduhan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Tertuduh turut mengemukakan beberapa alasan untuk menyokong permohonannya.

Antaranya, sebarang keputusan di dalam kes Dr Ling akan mempunyai kesan dan mempengaruhi aliran pembentangan kes pembelaan bagi pemohon di dalam kesnya.

Phang menegaskan memandangkan isu-isu dan peristiwa membabitkan pertuduhan terhadap Dr Ling berlaku di antara 25 September 2002 hingga 6 November 2002, pihak pendakwaan perlu membuktikan kebenarannya terlebih dahulu sebelum permulaan perbicaraan terhadapnya.

Pengkelasan semula minit-minit mesyuarat perlu dipercepatkan tanpa sebarang pelanggaran terhadap Akta Rahsia Rasmi 1972, kata Phang.

Alasan terakhir, pemohon berpendapat Dr Ling kemungkinan besar sama ada akan menjadi saksi pendakwaan atau pembelaan dan ini akan memudaratkan kedudukan dan keupayaan Ling sebagai seorang tertuduh.

Phang menjelaskan hak-hak Dr Ling tidak akan terjejas sekiranya perbicaraan kesnya berjalan terlebih dahulu dan kemudiannya diperlukan sebagai saksi didalam perbicaraannya.

Pada 29 Julai lalu, Dr Ling, 67, mengaku tidak bersalah terhadap satu pertuduhan utama dan satu pertuduhan alternatif menipu Jemaah Menteri dengan menyembunyikan fakta dalam pembelian tanah bernilai RM1.08 bilion, di Tingkat 4, Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, di Putrajaya di antara 25 September 2002 dan 6 November 2002

Tiada ulasan: