Rabu, 20 Oktober 2010

No 1, no 2 tolak 'politik sate' Pemuda Umno

MALAYSIA KINI


Mesyuarat agung bagi tiga sayap Umno - Pemuda, Wanita dan Puteri - berlangsung serentak di Pusat Dagangan Dunia Putera (PWTC), Kuala Lumpur hari ini.

Berikut laporan langsung:

Tolak 'politik sate
'

7.30pm PEMUDA Persidangan pergerakan itu ditutup dengan penggulungan Naib Ketua Datuk Razali Ibrahim dan Ketua Khairy Jamaluddin yang sepakat menolak 'politik cucuk' atau 'politik sate' terhadap mereka berdua.

Bumiputera berhak tuntut hingga 70% ekuiti

4.00pm PEMUDA Wakil Pemuda Kelantan Eriandi Ismail menggesa kerajaan mengambil tindakan tegas dan segera terhadap "suara-suara sumbang" yang menyentuh isu sensitif, seperti dalam isu pemilikan ekuiti bumiputera sebanyak 30 peratus.

Katanya, sebagai kaum yang lemah dalam ekonomi, orang Melayu sebenarnya berhak menuntut lebih daripada itu, "mungkin sehingga 70 peratus".

"Tetapi Umno berhemah, kita bertoleransi," kata Eriandi.

Kaji semula jawatan pengerusi Umno Kedah

3.00pm PEMUDA Wakil Pemuda Umno Kedah Basorri Hassan mahukan parti itu mengkaji kembali jawatan pengerusi perhubungan Kedah Datuk Shafie Apdal dan negeri pembangkang lain yang diterajui oleh bukan pemimpin tempatan.

Katanya, walaupun pemimpin berkenaan hebat dan mempunyai strategi yang baik tetapi kesibukan Shafie sebagai menteri, ahli parlimen dan naib presiden Umno menyebabkan perkara itu tidak dapat dilakukan.

"Tolong kaji balik perlantikan pengerusi perhubungan di Kedah khasnya dan di negeri-negeri pembangkan lain," kata Bassori. [Baca berita penuh]

1.00pm Perhimpunan tiga sayap dihentika sebentar untuk makan tengah hari selepas beberapa pembahas mengambil pentas sebentar tadi.

10.52am PEMUDA Khairy selesai memberikan ucapan. Pemuda Umno kini memilih 10 anggota pergerakan itu sebagai wakil ke mesyuarat agung Umno esok. Mesyuarat berhenti rehat seketika.

Kemungkinan bersatu semula dengan PAS

10.39am PEMUDA Khairy berkata, beliau tidak menolak kemungkinan bersatu semula dengan PAS walaupun parti Islam itu didakwa sanggup menolak tangan yang dihulurkan dengan ikhlas "kerana ketaksuban kepada kuasa".

"Tidak ada parti Melayu - baik Umno mahupun PAS - yang boleh mendapat seratus peratus undi Melayu," katanya.

"Di kebanyakan kawasan, perpecahan politik orang Melayu adalah 50 peratus di satu pihak dan 50 peratus di pihak yang lain," katanya.

Khairy membangkitkan perkara itu kerana terdapat pihak mencadangkan agar Melayu bersatu untuk menjamin kuasa di tangan bangsa pribumi kerana risau bangsa itu hilang kuasa politik.

Katanya, beliau tidak menentang penyatuan politik orang Melayu, malah Pemuda UMNO pernah mengalu-alukan muzakarah yang dicadangkan dengan PAS.

"Tetapi saya juga sedar bahawa telah terpahat dalam sejarah yang Melayu itu jarang sekali bersatu.

"Dalam lipatan sejarah moden, kecuali dalam penentangan terhadap Malayan Union dan perjuangan kemerdekaan, orang Melayu acap berpecah terutama dalam pemahaman dan ideologi politik," kata Khairy.

Orang Melayu perlu akui kelemahan

10.15am PEMUDA Khairy berkata, orang Melayu perlu mengakui kelemahan yang ada dan membina satu gagasan baru yang boleh melonjak kedudukan Bumiputera kepada satu tahap yang membanggakan.

Katanya, DEB sememangnya membawa pelbagai kejayaan tetapi ia tetap ada kelemahannya.

"Ekuiti Bumiputera telah meningkat jika dibandingkan dengan era pra-DEB tetapi pada era pertumbuhan ekonomi yang paling pesat sekitar tahun 1990-an di mana peluang untuk mengagihkan kekayaan baru tersebut cukup luas, ekuiti Bumiputera telah susut daripada 20.6 peratus pada tahun 1995 kepada 19.1 peratus pada tahun 1999."

"Kita juga menyaksikan peningkatan jurang ketidaksamaan di dalam nisbah pendapatan Bumiputera dan etnik Cina dari nisbah RM1.74 pendapatan etnik Cina bagi setiap RM1 yang orang Melayu ada pada tahun 1990 ke RM1.81 pada tahun 1995," katanya.

Lupakan retorik, wayang

9.54am PEMUDA Khairy berkata pengundi muda boleh menilai antara retorik politik dan servis dan antara wayang tinggi atau politik jujur.

Sehubungan itu, katanya, pendekatan demonstrasi, membuat laporan polis dan mendesak kerajaan menangkap pihak yang tidak sehaluan, walau sesuai dalam konteks tertentu, tidak lagi digemari pengundi muda.

Malah, katanya, dalam keadaan tertentu boleh menyebabkan golongan itu semakin jauh daripada Umno.

9.49am PEMUDA Khairy dengan sukacita mengumumkan sayap kanan Umno itu menyumbang anggota baru lebih besar daripada yang dicapai parti induk sendiri iaitu sebanyak 41,663 atau 43 peratus daripada pertambahan keseluruhan.

9.47am PEMUDA Ketua Pemuda Khairy Jamaluddin memulakan ucapannya berjudul 'Maqasid and Manhaj Perjuangan'.

9.38am PEMUDA Pengerusi tetap memulakan mesyuarat dengan mengalu-alukan kehadiran tetamu, antaranya mantan presiden Umno Tun Abdullah Ahmad Badawi.

9.25am PEMUDA Pemuda juga memberikan tokoh silat bertaraf mahaguru Omar Din Mauju anugerah khas kesatria terbilang atas kejayaannya memajukan bidang itu.

WANITA Mesyuarat pergerakan wanita Umno dimulakan dengan penyampaian Anugerah Nadi Negara kepada pelajar cemerlang wanita dari universiti tempatan.

9.15am PEMUDA Mesyuarat Pemuda memberikan penghargaan sebanyak RM10,000 khas kepada Umno bahagian Silam kerana berjaya membua pertambahan ahli terbanyak.

9.00am Kesemua sayap memulakan mesyuarat mereka.

Tiada ulasan: