Sabtu, 9 Oktober 2010

Nicol akhirnya tawan emas, Malaysia kumpul dua lagi

THE MALAYSIAN INSIDER


Nicol Ann David selepas menjuarai perlawanan akhir perseorangan wanita di Kompleks Sukan Siri Fort, New Delhi semalam. — Foto Bernama
NEW DELHI — Juara dunia Datuk Nicol Ann David akhirnya merangkul pingat emas sulungnya dalam Sukan Komanwel selepas menewaskan musuh ketat Jenny Duncalf dari England pada perlawanan akhir skuasy wanita di sini malam tadi.

Selepas gagal pada edisi lepas di Melbourne, Australia, pada 2006, Nicol dengan mudah mengatasi Duncalf 11-3, 11-5, 11-7 untuk merangkul gelaran perseorangan itu di Kompleks Sukan Sri Fort di sini.

Nicol, 27, menunjukkan persembahan mantap dan bertenaga sepanjang perlawanan untuk merangkul satu-satunya gelaran yang tidak pernah dimenanginya sejak menjadi pemain profesional pada 2000.

Pemain Austrlia Kasey Brown pula meraih pingat gangsa selepas pemain pilihan ketiga Alison Waters dari England menarik diri dari perlawanan menentukan tempat ketiga akibat kecederaan.

Dalam pada itu, satu lagi laporan Bernama menyebut, Malaysia kelihatan berada di landasan yang betul untuk mencapai sasaran kutipan 10 pingat emas di Sukan Komanwel 2010 ini, apabila sehingga kini di hari kelima temasya sukan itu, atlet negara berjaya mengumpul lima pingat emas, dengan tempoh sukan Komanwel berbaki enam hari lagi.

Semalam, selain Nicol, menyaksikan atlet negara meraih enam pingat, dengan dua darinya memancarkan kilauan emas, masing-masing satu dalam acara skuasy dan badminton manakala pingat perak dipungut dari acara menembak serta memanah, dan pingat gangsa dari acara ping pong dan berbasikal.

Pasukan badminton negara pula menewaskan pasukan tuan rumah 3-1 untuk pingat emas dalam acara berpasukan.

Kutipan pingat semalam bermula dengan pasukan ping pong negara yang dibarisi oleh Beh Lee Wei, Ng Sock Khim dan Fan Xiao Jun, yang mencipta sejarah tersendiri apabila memenangi pingat di Sukan Komanwel dalam acara itu buat pertama kali.

Mereka menewaskan pasukan England yang terdiri daripada Kelly Sibley, Joanna Parker dan Hanna Hicks untuk memperolehi pingat gangsa.

Satu lagi pingat gangsa diperolehi daripada pasukan berbasikal acara pecut yang menampilkan gandingan Awang Azizulhasni, Josiah Ng, dan Mohd Rizal Tisin.

Pingat perak pula diperolehi oleh Hasli Izam Amir Hassan menerusi acara perseorangan 25m rapid fire pistol, dan pasukan memanah recurve lelaki Malaysia yang terdiri daripada Muhammad Izzuddin Abdul Rahim, Cheng Chu Sian dan Arif Farhan Ibrahim Putra.

Hari ini, atet Malaysia akan mengambil bahagian dalam 16 acara peringkat final.

Pada hari keenam hari ini, antara acara sukan yang akan disertai atlet Malaysia ialah renang, memanah, tinju, serta menembak, dan kebanyakan acara ini dikuasai oleh negara Australia dan tuan rumah India.

Sehingga semalam, Malaysia sudah mengumpulkan 16 pingat, hampir separuh daripada jumlah yang dikumpulkan dalam Sukan Komanwel 2006 di Melbourne, Australia yang menyaksikan Malaysia mengutip 29 pingat.

Kontinjen Australia sehingga kini menerajui senarai dengan mengumpul 98 pingat (47 emas), diikuti tuan rumah India dengan 47 pingat (20 emas).

Di luar gelanggang pegawai-pegawai India masih berusaha menangani pelbagai masalah harian, dan antara masalah yang timbul semalam ialah papan markah stadium ragbi yang jatuh, kesukaran mendapatkan permit untuk menjayakan liputan beberapa acara seperti berbasikal dan maraton, di samping masalah yang sudah berlarutan sejak awal iaitu kekurangan penonton di banyak gelanggang.

“Ada beberapa kawasan larangan penerbangan, sedangkan kami perlu berada di udara di kawasan itu untuk membuat liputan televisyen buat acara berbasikal dan madaton.

“Kami tidak ada pelan B, tapi kami yakin akan dapat kebenaran untuk terbang di kawasan itu,” kata ketua Persekutuan Sukan Komanwel Mike Fennell kepada media.

Sementara itu, sistem kemas kini maklumat Sukan Komanwel menerusi laman web rasmi temasya sukan itu yang rosak sejak awal masih belum dibaiki sehingga kini, dan ia akan menyulitkan wartawan yang membuat liputan pelbagai acara sukan.

Tiada ulasan: