Isnin, 25 Oktober 2010

Nazir masjid: Kaedah kami telus bebas ‘cara Umno’, tegas PAS Selangor

THE MALAYSIAN INSIDER

KUALA LUMPUR — PAS Selangor menegaskan kerajaan negeri Pakatan Rakyat itu menggunakan pendekatan yang lebih telus dan bebas dalam memilih nazir-nazir masjid sejak Mac 2008, sekali gus mengakhiri “cara Umno” yang diamalkan sebelum pilihan raya umum ke-12.

Ketua Penerangan PAS Selangor Roslan Shahir Mohd Shahir berkata, semua nazir di negeri Selangor kini melalui proses baru yang pastinya tidak ditindik atau ditunjuk oleh pemimpin-pemimpin parti yang diamalkan ketika era Barisan Nasional pimpinan Umno sebelum Mac 2008.

“Barangkali kerana tidak kebah-kebah dari demamnya lantaran kalah pada Mac 2008 lalu, Ismail Kijo menyangkakan PAS juga berperangai macam mereka dalam urusan masjid di negeri ini,” kata beliau dalam tulisan menerusi blognya.

“Saya tahu ada orang PAS yang menjadi nazir, sudah pastinya beliau menepati syarat dan berjaya dalam proses penyaringan, tetapi ada juga yang Umno,” katanya.

Sehubungan itu kata beliau, adakah bermakna semua ahli Umno yang menjadi nazir di bawah kerajaan baru ini juga sudah menjadi PAS?

“Jika begitu baguslah,” kata beliau menafikan dakwaan Ketua Umno Ampang Datuk Ismail Kijo pada Perhimpunan Agung Umno 2010 kelmarin.

Roslan Shahir mendakwa Ismail sebenarnya faham akan apa yang berlaku di Selangor pada masa sekarang.

“Ia sesungguhnya lebih baik dan diterima dengan hati terbuka dan senang oleh umat Islam di Selangor berbanding zaman beliau.

“Masjid-masjid semakin dimakmurkan buktinya sahaja di bulan Ramadan, kehadiran jemaah di masjid yang memangnya ramai semakin berlipat ganda sejak dua tahun kebelakangan ini.

“Jika beginilah sikap Ismail, menafikan kebaikan demi sentimen politik yang fanatik dan melulu, terus kekallah kerusi Lembah Jaya di tangan PAS dan begitu juga kerajaan Selangor di tangan PR insya-Allah,” katanya,

Ketika menyertai perbahasan pada Perhimpunan Agung Umno baru-baru ini, Ismail berkata, Pakatan Rakyat di Selangor menggunakan demokrasi ala PAS untuk memilih nazir masjid.

“Sebagai contoh ketika pemilihan nazir, ada tiga nama. Calon pertama dapat 200 undi, calon dua dapat 150 undi dan calon tiga dapat 99 undi.

“Selepas itu senarai nama itu diberikan kepada Exco Kerajaan Negeri untuk memilih nazir. Calon pertama yang dapat 200 ini orang Umno, calon kedua ini tidak sokong mana dan calon ketiga yang dapat 99 undi ini orang PAS.

“Akhirnya calon ketiga ini yang dilantik sebagai nazir kerana dia adalah orang PAS. Ini memang terjadi di Selangor,” kata beliau ketika membahaskan usul agama dan pendidikan.

Kata beliau, ia seolah-olah dalam acara lumba lari, orang yang berada di tempat ketiga diberikan emas.

“Mereka pilih nazir masjid yang hanya akan menguntungkan mereka sahaja,” katanya.

Tiada ulasan: